Dr Mujahid Yusof Rawa
- Seluruh negara tertumpu Jumaat lalu (6hb Nov) untuk mendengar Bajet 2021. Ini pertama kali Bajet Negara tahunan dibuat semasa era norma baharu dan dalam keadaan kerajaan yang tidak bermandat. Isu demokrasi dan keabsahan perundangan kerajaan PN telah membawa kepada krisis politik tidak bersudahan.
- Era pendemik sebenarnya adalah peluang untuk menangani krisis politik. Sedari awal, saya menyatakan bajet ini perlu menjadi bajet dwi krisis. Pembentangan bajet adalah ruang untuk mencipta peluang berganjak dari keadaan politik sedia ada kepada cara baru dan pemikiran baru urusan pemerintahan pasca covid.
- Sebelum ini ketika PH memerintah, hasrat anjakan kepada politik baharu cuba diperkenalkan dari sudut undang-undang dan kebebasan instituisi parlimen serta hak bermaklumat. Ini termasuk hasrat memaknai Islam dalam konteks negara yang penuh kerahmatan jauh dari unsur kebencian. Hasrat tersebut diterjemahkan dalam polisi ‘menggantung akta hasutan’, menolak ‘akta berita-palsu’ dan memperkenalkan dasar Islam Rahmah dengan peruntukan 10juta dalam perbelanjaan 2020.
- Instituisi propa seperti JASA yang melibatkan bajet untuk ‘mensolekkan’ kecurangan pentadbiran kerajaan dihapuskan oleh PH dan telah menjimatkan purata RM23juta (tahunan) yang dianggap hanya untuk kepentingan propaganda destruktif. Usaha anjakan oleh PH merupakan aspirasi rakyat yang mahukan demokrasi yang lebih segar supaya negara dapat memacu kehadapan. Malangnya hanya 22 bulan berusaha semuanya terbantut angkara pembelotan yang terancang melibatkan pelanggaran demokrasi yang kini tercedera dan remok.
- Saya mengharapkan peruntukkan yang menyuntik kesegaran demokrasi tetapi langsung tidak disentuh. Walhal demokrasi adalah jaminan utama terhadap kejayaan teras untuk selamatkan nyawa dan kelangsungan kehidupan (saving life and livelihood). Kita tidak boleh selamatkan nyawa tetapi pada waktu yang sama menyekat kebebasan dan hak bermaklumat melalui peruntukan undang-undang yang masih mengengkang kebebasan ini seperti akta hasutan dll.
- Kita menjangkakan dalam menangani krisis politik, satu peruntukan secara dasarnya yang saya namakan sebagai Inisiatif Konsolidasi Demokrasi (IKD) perlu diwujudkan. Segala ketidaktentuan dan kerapuhan suasana politik akibat pelanggaran pasca Feb 2020 perlu dipulihkan dan diperbaiki sebelum kita bercakap tentang perpaduan nasional atau rekonsiliasi. Terimalah hakikat bahawa krisis politik yang menjadi pendemik masih menular dengan simptom kemorosotan kepercayaan (trust deficit) terhadap kerajaan hari ini menjadi semakin meruncing.
- Inisiatif Konsolidasi Demokrasi diperlukan sebagai vaksin (penawar) pendemik politik supaya demokrasi baru yang lebih matang dapat berkembang dan bagi memastikan tidak lagi berlaku pelanggaran. Proses konsolidasi atau mempertemukan segala jurang demokrasi antara prinsip dan pelanggaran adalah langkah awal menguruskan krisis politik yang kita hadapi hari ini. Kalau gencatan politik adalah langkah awalnya maka konsolidasi demokrasi adalah perinciannya. Sekadar seruan gencatan tanpa apa-apa langkah seterusnya ialah slogan kosong yang tidak menjaminkan krisis akan berulang.
- Satu Suruhanjaya Konsolidasi Demokrasi rentas semua parti perlu diwujudkan untuk perincian mengenal pasti pelanggaran prinsip demokrasi termasuk perundangan yang terdedah kepada salah guna untuk sekatan hak bersuara. Ini termasuk dalam mempertahankan pilihanraya bebas, kehakiman yang bebas dan mengupayakan masyarakat sivil yang lebih mantap. Begitu juga konsultasi rakyat supaya keterlibatan mereka didengari untuk memperkukuhkan pilihan demokrasi sebagai landasan negara. Kebencian antara kaum dan agama yang berpotensi menjadi alat kebencian dan menjejaskan usaha perpaduan perlu ditangani dengan perundangan khusus menjenayahkan kebencian.
- Tiba masanya peruntukan satu Mahkamah Perlembagaan yang bebas secara khusus yang akan memuktamadkan berbagai intepretasi perlembagaan dalam krisis politik. Memelihara mandat rakyat adalah yang terutama dalam prinsip demokrasi maka satu peruntukan akta pemeliharaan mandat perlu wujud supaya rakyat lebih yakin wakil sah mereka tidak membelot dari mandat yang diberikan. Namakanlah apa sahaja seperti ‘anti-lompat’ namun pada terasnya ia adalah untuk menghormati mandat rakyat.
- Malangnya bajet 2021 bukan untuk konsolidasi demokrasi tetapi bajet ini ambil kesempatan untuk konsolidasi kuasa PN yang dipertikaikan melalui peruntukan besar 81juta JASA yang hanya akan melumpuhkan lagi kecederaan demokrasi negara kita. Kita akan menjangkakan JASA menjadi alat pembelotan demokrasi dipertahankan dan suara membantah akan didiamkan melalui akta hasutan, kanun kesiksaan dan akta skmm.
Sementara saya bersetuju tujuan selamatkan nyawa dan kelangsungan kehidupan diperlukan tetapi saya akan menolak jika pemulihan demokrasi yang teruk dilanggar diabaikan oleh kerajaan dalam bajet ini!
DS
(Visited 164 times, 1 visits today)