Amer Abd Hadi
Adalah menyedihkan, apabila setiap kali musim perayaan, yang sepatutnya disambut dengan penuh kegembiraan, setiap kali itulah isu perkauman dimainkan.
Sebagai orang yang pernah bekerja dalam badan hak asasi manusia selama lebih 5 tahun, ingin saya akui bahawa diskriminasi kaum secara sistemik benar-benar berlaku.
‘Racial profiling’ semasa tahanan berlaku, diskriminasi bantuan berlaku, diskriminasi sistem pendidikan berlaku, malah diskriminasi ketika menggaji pekerja, dan memilih penyewa rumah juga berlaku.
Namun apa pun yang berlaku, saya selalu optimis bahawa generasi muda tidak akan mengulangi kesilapan generasi sebelumnya. Kita sudah penat dan muak dengan perkauman, kita ingin bawa negara ini kehadapan, dan bina negara ini bersama.
Dalam hidup ini, kadang kita punya pilihan, kadang tidak. Siapa disini yang ketika lahir boleh memilih untuk menjadi Melayu, Cina atau India? Atau boleh memilih untuk memiliki kulit cerah atau gelap? Siapa di sini yang boleh memilih untuk lahir di Malaysia, Amerika atau Afrika? Jawapannya, tidak ada.
Maka adil atau tidak, kita di diskriminasi atau mendiskriminasi sesuatu yang tidak dipilih?
Rakan-rakan, saya mohon maaf. Untuk ini juga, kita tidak punya pilihan. Seberapa benci pun kita dengan sesuatu bangsa, negara ini akan kekal begini rupa bentuknya.
Selamanya negara ini akan dihuni oleh pelbagai bangsa dari pelbagai agama. Kepelbagaian kita adalah keunikan kita. Kepelbagaian kita adalah kekuatan kita.
Jalan kehadapan cuma satu; kita belajar hidup bersama, hormat menghormati, dan yang paling penting, bertoleransi. Kalau perbezaan lah yang kita cari, pasti beribu yang kita jumpa. Namun kenapa memilih perbezaan kalau kita boleh membina kekuatan bersama?
Saya percaya, ini tugas kita, generasi muda. Kita tidak punya kenangan lampau yang buruk dan menyakitkan. Yang kita ada, adalah masa hadapan yang cerah untuk semua.
Musuh kita bukan sesama kita, rakyat yang sama-sama berjuang untuk terus hidup, golongan ‘mustadafin’ yang tertindas.
Musuh kita adalah golongan ‘mutakabbirin’, sang penindas, yang menyuntik virus perkauman agar kita terus membenci, dan mereka boleh terus menyerakah hasil negara.
Jalan kehadapan adalah kita belajar hidup bersama, sebagai sebuah bangsa; Bangsa Malaysia. Mari kita bina negara ini bersama.