Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri mengatakan, jangka waktu yang dibuat susulan penularan Covid-19 kini muncul gelombang tiga yang memberi kesan kepada
sektor pelancongan.
“Dari Januari hingga Jun kita sudah rugi RM45 bilion,” katanya dipetik.
Nancy berkata, bagaimanapun keputusan kerajaan meluluskan gelembung perjalanan domestik antara negeri zon hijau bermula semalam sedikit sebanyak memberi nafas baharu buat sektor pelancongan.
Nancy berkata, selaras pengumuman itu kementeriannya memperkenalkan tiga strategi utama iaitu mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong, fokus menyemarakkan pelancongan domestik dan mengenalpasti segala produk serta meningkatkan penawaran lebih kreatif dengan memaksimumkan sumber sedia ada.
Beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif sedia digerakkan pemain industri untuk ditawarkan kepada pelancong bagi meningkatkan sektor pelancongan dengan pematuhan SOP ditetapkan.
Katanya, kerjasama dengan Tourism Malaysia, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet (MyBHA) termasuk menawarkan pakej penginapan minima 3 hari 2 malam bagi menebus rebat baucar RM100 dan RM50 berdasarkan ketegori hotel.
“Kedua, kerjasama dengan MyBHA bagi hotel bajet (3 bintang ke bawah) yang terpilih dan aktif berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui dua kempen MyBHA iaitu “Jom Nginap” dan “Malaysia Welcomes You” dengan menawarkan tunai RM20 melalui Touch n’Go dan rebat RM20,” katanya.
Katanya, ketiga kempen “Cuti-Cuti Malaysia” dengan kerjasama syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia, Firefly, dan Malindo Air bagi meningkatkan kesalinghubungan ke lokasi percutian dalam negara.
“Kempen promosi mensasarkan warga Malaysia dengan menawarkan potongan diskaun RM50 bagi penerbangan sehala. Sebagai contoh, Malaysia Airlines termasuk Firefly menawarkan potongan diskaun RM50 atau RM100 untuk tiket penerbangan pergi dan balik bagi pembelian tiket kelas ekonomi dan perniagaan sahaja.
“Tempoh tempahan kempen ini bagi Malaysia Airlines dari 24 November hingga 3 Dis 2020 manakala tempoh perjalanan dari Novemnber hingga Jun 2021. Tempoh tempahan bagi Firefly pula bermula 24 November hingga 8 Dis 2020 dan tempoh perjalanan dari November 2020 hingga Oktober 2021,” katanya.
Beliau berkata, pihak Tourism Malaysia juga akan menjalinkan kerjasama dengan penggiat industri melalui segmen perkhidmatan, pengangkutan serta syarikat swasta dan kelima diskaun pembelian produk kraf di “outlet” Karyaneka bagi mengalakkan penjualan kraftangan.
Nancy menyeru orang ramai yang berada di zon hijau keluar melancong dengan selamat berpandukan SOP ditetapkan.