Pengurangan subsidi kepada penanam padi dalam Belanjawan 2021 bakal menjejaskan para petani.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata pengurangan peruntukan kepada agensi di bawah Kementerian Pertanian dan subsidi harga padi akan menyukarkan kerajaan memastikan sekuriti makanan terjamin.
“Saya dapati berlaku pengurangan bajet pengurusan dan agensi (di bawah Kementerian Pertanian) seperti MADA, KADA, LKIM, LPP, Mardi yang pengurangannya lebih 35%. Saya nak tanya apakah impak pengurangan peruntukan kepada agensi kerajaan. Apakah impak khidmat (agensi) kepada petani, penternak dan juga nelayan?
“Kedua, subsidi harga padi yang kurang sebanyak RM50 juta, di mana kita tahu subsidi harga padi RM360 satu tan. Di mana pengurangan RM50 juta ringgit apakah impaknya, adakah dikurangkan bayaran kepada petani?” katanya dalam sesi soal jawab pagi tadi.
Menteri Pertanian Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menjawab pertanyaan itu dengan alasan pengurangan peruntukan kali ini tidak tertumpu kepada Kementerian Pertanian sahaja, tetapi juga kepada kementerian lain disebabkan kekangan kewangan negara dan pertumbuhan ekonomi yang tidak baik.
“Kita akui beberapa agensi mengalami pengurangan peruntukan tetapi seperti saya katakan ia tidak mengganggu perjalanan agensi terlibat,” kata Roland.
Jawapan itu bagaimanapun dicelah oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah yang mempertikaikan pengurangan subsidi akan menyebabkan penyusutan hasil pertanian negara.
“Berkenaan belanja mengurus dikurangkan, maka mereka (kakitangan kementerian) akan buat saja ‘dengan apa yang ada’ tetapi kalau subsidi harga padi dikurangkan adakah bermakna penanam padi kita tidak tanam padi atau penghasilan mereka akan kurang?
“Dalam keadaan ini, (sebelum ini) yang kita tekankan petani kita mendapat benih lebih baik dan sebagainya. Maka tak sepatutnya subsidi harga padi dikurangkan.
“Kalau kita tengok penyelenggaraan pengairan (untuk sawah) juga dikurangkan dari RM30 kepada RM20 juta. Sepatutnya kita beri tumpuan kepada bekalan makanan kita agar terjamin,” katanya.