Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor meminta Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal agar jangan sombong mendakwa parti itu telah melahirkan dua Perdana Menteri (PM) biar pun dalam usia setahun jangung.
Menurut Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Mohd Khairool Ngadon sebaliknya berkata, Wan Fayshal perlu mengulang kaji beberapa fakta sebelum memperbesar-besarkan ‘kehebatan’ Bersatu.
Katanya, perlantikan Tun Mahathir Mohamad sebagai PM bukanlah atas kehendak Bersatu semata-mata tetapi dengan pengorbanan KEADILAN kerana ketika itu tokoh berkarismatik Datuk Seri Anwar Ibrahim masih di dalam penjara.
“PH akhirnya menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 dan pelantikan Tun Dr Mahathir tertangguh sebanyak tiga kali, manakala Presiden KEADILAN ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah ditawarkan jawatan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Namun akhirnya Wan Azizah menolak tawaran atas prinsip berpegang kepada janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Tun Dr Mahathir,” kata Khairool dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, menurut Khairool, Pengerusi Bersatu Tun Mahathir kemudiannya seolah-olah menolak perjuangan reformasi apabila tidak menunaikan manfesto Pakatan Harapan (PH) dan berkata “manifesto bukan kitab suci” sehingga rakyat hilang kepercayaan kepada PH.
Maka siri pengkhianatan seterusnya menyebabkan pertukaran kerajaan pada Februari 2020. Pertukaran yang pada mulanya direstui oleh Tun Dr Mahathir kemudiannya gagal apabila beliau meletakkan jawatan.
PH pula, kata Khairool memulakan langkah baharu mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM tetapi Tun Mahathir bagaikan tersentak dari lamunan dan kembali bersama PH untuk menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga.
“Namun usaha tersebut gagal dan Tan Sri Muhyidin Yasin dipilih menjadi Perdana Menteri.
“Berdasarkan kronologi itu jelas Bersatu hanya sekadar angkat piala buatan sendiri dan mendabik dada melahirkan dua PM. Sedangkan hakikatnya Bersatu tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri.
“Tun Mahathir diangkat sebagai PM atas pengorbanan KEADILAN, DAP dan Amanah. Manakala Muhyiddin dipilih sebagai PM atas rundingan pintu belakang bersama parti-parti yang kalah pada PRU 14,” kataya lagi.
Oleh itu, kata Khairool, Bersatu wajar lebih banyak bermuhasabah sebelum mendabik dada.
Parti itu sendiri bertanding PRU 14 menggunakan logo KEADILAN dan tidak sewajarnya mengaku menjadi juara di atas penderitaan orang lain.