Dasar Ekonomi Baru (DEB) semakin diabaikan pada zaman Najib. Sebaliknya, dasar baru NKRA, ETP dan sebagainya diperkenalkan. Bagaimanapun, tidak banyak rakyat yang mendapat nikmat dengan dasar itu. Ikuti temubual dengan Kadir Sheikh Fadzil:
S: Keputusan drastik Tan Sri untuk keluar Umno mengejutkan. Apa rasional tindakan?
K: Bila berhenti sebagai Menteri memang tak berhajat nak berpolitik secara aktif, hanya sambilan. Tapi sekian lama saya tengok banyak benda yang tak betul. Keadaan menjadi terlalu buruk. Lama-kelamaan beberapa kawan berpakat dan tubuhkan Amanah, supaya kita boleh terus berjuang di dalam NGO. Kita cuba bawa kebaikan dalam Umno, untuk buat perubahan dari dalam. Tetapi rupa-rupanya, sekarang saya yakin benda yang saya syak begitu lama, Umno kini bukan lagi parti yang demokratik. Tidak ada tempat lagi untuk orang buat cadangan kritikan dan membina. Semuanya mesti cakap benda yang sedap. Kalau nak kritik sikit, jadilah macam saya. Mereka putar belit kenyataan saya oleh akhbar parti yang saya perjuangkan selama 56 tahun. Memang saya kecewa. Itu sebab saya rasa untuk bawa kebaikan kepada negara, saya kena berhenti daripada Umno.
S: Apa beza perjuangan ahli Umno pada tahun 70-an dan hari ini?
K: Tahun 60-an dan 70-an, dari Presiden sampai ke bawah, mereka tahu sekiranya mereka masuk Umno, itu adalah tempat untuk berkorban. Untuk memberi, bukan meminta. Umno bukannya tempat untuk dapatkan sesuatu. Kita masuk untuk memberi sumbangan kepada negara. Tetapi bukannya tempat untuk cari makan, cukup ikhlas. Saya dari Kedah dan ingat cara hidup pemimpin lama Umno di negeri ini. Contohnya Datuk Senu dan Khir Johari. Mereka ikhlas dalam perjuangan. Bila mereka meninggal dunia, kita tahu yang mereka tak tinggalkan apa-apa kemewahan.
S: Beza kepemimpinan Pemuda Umno dahulu dan hari ini?
K: Dulu semasa mula berpolitik di peringat nasional sebagai Exco Pemuda Umno Malaysia dan menjadi Setiausaha Politik selepas 13 Mei 69. Waktu itu saya sedar masalah asas, iaitu agenda bumiputera. Selepas 50 tahun kita merdeka, kita diberitahu jurang kedudukan ekonomi bumiputera dengan bukan bumiputera luas. Kenapa jurang jadi seperti itu?
Bermakna di semenanjung Malaysia 50% orang Melayu terkeluar dari agenda pembangunan. Bantuan biasiswa pelajaran atau pertanian hanya diberi kepada orang penyokong kerajaan. Penyokong Pas atau pembangkang langsung tak dapat bantuan. Bantuan diberi atas dasar penyokong parti, bukannya kelayakan. Saya cukup kesal. Di kawasan saya selama 30 tahun saya tak benarkan semua ini berlaku. Beri kepada semua yang layak.
Bermakna setengah dari bumiputera yang menyokong pembangkang terkeluar dari arus pembangunan negara. Tak hairan selepas lebih 50 tahun merdeka jurang masih terlalu luas. Dulu masa Tun Razak lancar Dasar Ekonomi Baru, 30% pinjaman di bank-bank diberi kepada syarikat industri bumiputera yang kecil. Tiap-tiap bank diadakan Unit Penyertaan Bumiputera, sebagai pusat sehenti (one stop centre) untuk merancang, melaksana dan mengurus dasar.
Begitu juga untuk setiap Kementerian ada Bahagian Penyertaan Bumiputera. Tapi, lama-kelamaan ia dihapuskan. Saya tak setuju. Masalahnya, siapa yang hapuskan? Bukannya Dewan Perniagan Cina atau DAP yang hapuskan. Bila saya jadi Menteri, saya hidupkan balik. Saya emosional dengan perkara ini kerana Pemuda Umno di zaman saya yang kuat mendesak untuk jayakan DEB.
S: Melalui kempen berterusan, BN selesa dan yakin untuk menang PRU ke-13. Apa pandangan Tan Sri?
K: Nampak gaya mereka nak buat pilhan raya umum dalam dalam masa terdekat. Iaitu sebelum kerja dan pelaksanaan PSC selesai. Saya rasa tak perlu dibuat segera kerana akan menimbulkan kegelisahan. Katakanlah selesai dalam masa lima atau enam bulan. Kemudian beri tiga bulan untuk laksanakan. Saya rasa waktu itu, katakanlah hujung tahun elok sangat dibuat pilihan raya umum. Semua orang akan puas hati.
S: Peranan anak muda dalam proses demokrasi?
K: Dalam sejarah dunia, mana-mana kerajaan yang memerintah terlalu lama, maka perangai buruk akan berakar umbi, kematu. Macam mana pun dicuba untuk berubah, tetap tak boleh. Orang muda muda nampak hal ini. Mereka lahir dalam dunia berbeza. Yang paling banyak memberontak ialah di saluran undi muda. Kerajaan sendiri tahu benda ini. Sebab itu dia kata nak berubah, tapi saya tak tahu apa yang nak diubah. Pada pandangan saya, yang dibawah tidak bersalah. Yang perlu diubah adalah diperingkat pimpinan. Terutamanya tindak tanduk mereka yang diperlihatkan melalui pembaziran, sikap menunjuk-nunjuk. Rakyat tak suka.
S: Apa pandangan Tan Seri tentang kebebasan media?
K: Media massa arus perdana tak boleh lagi guna cara lama. Rakyat akan memeberontak. Tidak ada negara dalam dunia ini yang menggelarkan diri mereka sebagai negara demokrasi, tetapi medianya 100 peratus dikawal dan dikongkong. Di Malaysia 100 peratus media massa arus perdana dikongkong oleh kerajaan.sangat ketara. Kalau kita buka televisyen, dengar radio atau baca akhbar, kita dengar cerita ‘yang itu juga’. Berbeza dengan Jakarta, Bangkok. Dulu rakyat tak faham. Sekarang diputar cerita (ejen) Yahudi, (tuduhan) seks dan lain-lain. Mereka marah. Media massa arus perdana adalah kepunyaan rakyat. Tak boleh cenderung pandangan sesuatu parti sahaja.
S: Dalam konteks keseimbangan, apakah demografi politik pasca 2008 lebih baik?
K: Memang dalam piihan raya umum ke-12 pada 2008 di semenanjung sahaja lebih 51% undi popular memihak kepada pembangkang. Bila dicampur dengan undi dari Sabah dan Sarawak ia turun kepada 47.9% undi popular. Dalam keadaan tanpa wang, media dan kemudahan masih setengah kepada Pakatan Rakyat. Itu satu tanda yang jelas.
[Ikuti wawancara penuh bersama Kadir Sheikh Fadzil dalam keluaran terbaharu Suara Keadilan, edisi 60]