Biar pun dilupakan begitu sahaja oleh Umno selepas DAP membantu menjatuhkan MB Bersatu namun kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama membuktikan parti itu tidak anti Melayu.
Menurut Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, peristiwa sepanjang 3 hari ini membuktikan DAP bukanlah memusuhi Umno kerana kaum. DAP juga katanya, telah menyatakan kesediaan membentuk kerajaan bersama biar Umno memgambil sikap ‘seperti melepaskan anjing tersepit’ melupakan jasa DAP dan kembali rujuk kepada Perikatan Nasional.
“Kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan Umno membuktikan dua perkara iaitu DAP parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama.
“Kedua, momokan DAP adalah anti-Melayu atau anti-Islam selama ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Nga dilaporkan berkata parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan Umno bagi menyelesaikan kemelut politik negeri itu selepas Ahmad Faizal Azumu kehilangan majoriti dalam undi percaya yang diusulkan Umno dalam DUN pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Nga yang juga Adun Aulong berkata, rakyat telah melihat syarat DAP untuk bersama Umno iaitu mengutamakan prinsip bersih, berintegriti dan berpandukan kepada prinsip tatakelola yang baik (good governance).
“Perlu juga ditegaskan DAP tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah atau penyelewengan dalam soal integriti pentadbiran.
“Selain itu, muafakat tetap PH disanjung, agenda reformasi tetap didukung. DAP Perak tidak akan menyertai kerajaan negeri yang baru tanpa rakan-rakan komponen iaitu Amanah dan PKR,” katanya yang juga anggota parlimen Teluk Intan.