Kesediaan PKR Perak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang dapat menubuhkan Kerajaan Negeri Perak yang stabil adalah keutamaan, demi kebaikan rakyat dalam menghadapi pandemik Covid 19 dan kemuraman ekonomi.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar semua pemimpin politik mencari formula terbaik perlu dilaksanakan segera.
Katanya, jika semua parti politik bekerjasama maka akan wujud lanskap politik baharu yang berteraskan perpaduan, sejajar dengan titah Tuanku.
“Semua parti politik perlu lebih matang dan mengambil sikap terbuka. Negara kita memerlukan pemahaman lanskap politik baharu yang dapat menyatukan semua kaum dalam menempuhi cabaran dunia pasca Covid-19 secara muafakat.
“KEADILAN Perak menjemput semua ahli politik agar mengutamakan perpaduan demi kesejahteraan rakyat. Sebarang usaha perdamaian amat penting pada masa ini agar kepentingan rakyat tidak terabai,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Farhash menolak sikap sesetengah ahli politik yang masih berteka-teki dalam pembentukan Kerajaan Negeri yang baharu sehingga menangguhkan Belanjawan Perak 2021 yang sepatutnya dibentangkan pada minggu ini.
“Janganlah kita mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin hanya kerana tidak bersefahaman. Apa yang jelas adalah kita bersedia memberikan sokongan kepada kerajaan yang mengutamakan semangat kesepakatan,” katanya lagi.
Kerajaan negeri Perak masih gagal dibentuk selepas Sultan Nazrin semalam mendapati tiada satu parti pun yang memperolehi majoriti.
Manakala ADUN Pas yang dititah mengadap menangguhkannya atas arahan Pas Pusat. Bersatu pula masih belum memberi kata putus sama ada akan menyokong MB daripada Umno atau pun tidak.
Sehubungan itu, PH mencadangkan pelan pembentukan kerajaan baharu dengan formula kerajaan campuran bersama Umno.