Agenda menyatukan berbilang kaum di Malaysia, melawan korupsi dan membasmi kemiskinan seharusnya menjadi agenda paling besar ahli-ahli politik Malaysia.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyatuan tidak wajar hanya terhad kepada isu gabungan pembangkang atau menumpukan kepada penyatuan kaum-kaum tertentu sebagaimana di dalam kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengaitkan ucapannya dengan agenda Grand Coalition yang sedang diusahakan beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) kebelakangan ini.
“Saya tekankan dalam ucapan tadi tidak terkait mana-mana secara khusus tetapi secara umum, baik orang Melayu, kita bicara pasal perpaduan Melayu, penyatuan rakyat Malaysia.
“Ini semua adalah usul atau gagasan yang menarik. Tetapi untuk apa? Itu yang perlu dijawab. Adakah untuk membawa perubahan ke arah kebaikan? Atau mempertahankan kecurangan dan kebobrokan yang ada?
“Ataupun membuat tempelan? Ada peluang kita memerintah, serang kelompok lain yang rasuah tetapi tutup mata dengan pembaziran dan kegelojohan dan ketamakan rakan-rakan kita, sehingga berlaku pengkhianatan?
“Atau pun membuat langkah-langkah yang tidak menunjukkan kehebatan kita menangani masalah kemiskinan atau kesenjangan. Bagi saya ini masalah pokok yang harus kita tangani.
“Apakah perubahan yang kita usulkan mampu memberikan suatu keyakinan kepada rakyat bahawa kita lebih serius untuk menyelesaikan masalah pemacuan ekonomi, keadilan bagi rakyat serta mengatasi masalah kemiskinan (kalangan marhaen) yang sangat buruk,” katanya selepas Majlis Peluncuran Buku: “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 – 2011” karya Dinsman di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pagi tadi.
Menurut Anwar, masalah rakyat marhaen adalah agenda yang perlu dijulang tetapi tidak wajar diharapkan kepada elit politik untuk menyelesaikannya kerana sudah lama diberi peluang namun tidak ada kesungguhan melaksanakan.
Katanya, semua perlu kembali kepada landasan. Apakah bentuk persatuan Melayu atau antara kaum itu mahu menjamin keadaan yang lebih baik bagi negara, ekonomi dan keselesaan rakyat atau pun sebaliknya?
Mengulas pertanyaan adakah PH masih boleh bersama-sama tokoh-tokoh yang pernah membentuk kerajaan bersama sebelum ini, Anwar menjawab hal itu perlu diputuskan sendiri oleh pimpinan gabungan berkenaan.
“Itu terserah kepada PH, siapa pun kita boleh undang (menyertai) tetapi patuh kepada prinsipnya. Bukan bawa agenda peribadi dan meneruskan kebobrokan yang lama,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan sesiapa yang mahu mengambil alih kepimpinan negara haruslah bersungguh-sungguh membawa agenda reformasi, urustadbir baik, memerangi rasuah serta tidak melindungi keluarga sendiri atau kroni dan mengkayakan mereka dengan nama perubahan atau mandat rakyat.
Katanya, pemimpin mestilah jelas dengan agenda melawan rasuah dan menjadi juara kepada golongan miskin, masyarakat terpinggir, Melayu luar bandar, India estet atau kemiskinan dalam kalangan kaum Iban, Kadazan di Malaysia Timur.