Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 atau selepasnya politik Malaysia akan menyaksikan penubuhan pakatan atau koalisi yang lebih majmuk.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Datuk Dr Xavier Jayakumar, tanpa pembentukan koalisi dari parti pelbagai latar belakang tidak mungkin sesebuah kerajaan yang mempunyai majoriti stabil boleh dibentuk berikutan parti-parti tidak mungkin mendapat kerusi yang cukup banyak untuk membentuk kerajaan sendiri.
“Saya ingat koalisi ini bukan satu perkara baru di dalam negara kita. Dari dulu kita ada banyak koalisi politik. Alliance Party, BN dan sebagainya. Tetapi di dalam sistem politik sekarang, pembentukan kerajaan-kerajaan di negara lain, saya boleh katakan 95% adalah kerajaan coalition. Ada beberapa negara sahaja memiliki majoriti mutlak, seperti di India. AS guna sistem dua parti, itu pun tiada majoriti mutlak.
“Di Malaysia saya tidak nampak pada masa hadapan kita akan ada single party system. Saya nampak semua parti sama ada dalam Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan (PH) tidak ada satu parti akan muncul pemenang mutlak dalam PRU akan datang.
“Sebab itu saya kata kita kena bina koalisi sekarang untuk PRU. Apa koalisi yang kita mahu? Di Malaysia kita nampak banyak eksperimen koalisi yang telah dibuat tetapi koalisi yang berjaya dalam masa terdekat adalah PH di mana kita telah ada beberapa pemimpin utama dalam gabungan ini yang ketepikan isu peribadi untuk kesejahteraan negara,” katanya dalam forum bertajuk ‘Melakar landskap politik baharu Malaysia 2021’ anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.
Menurut Dr Xavier lagi, PH telah merintis penubuhan satu koalisi pelbagai latar belakang politik yang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU 14. Namun menuju PRU 15, katanya, formula yang sama agak sukar untuk sukses sekali lagi.
Oleh itu, satu formula baharu perlu diperkenalkan sama ada PH membentuk koalisi dengan lebih banyak parti pembangkang atau bersama musuh politik yang boleh menerima prinsip perjuangan untuk mencipta Malaysia yang lebih baik
“Kita mesti berfikiran terbuka dalam pembentukan koalisi. Kita tidak boleh berfikiran sempit, inilah koalisi yang saya boleh ada, tidak koalisi lain.
“Sekarang sistem politik Malaysia telah berubah. Kita katakan demokrasi dalam negara sudah mencapai satu tahap di mana koalisi, mereka (rakyat) mula persoal apakah bentuk koalisi dan dengan siapa kita akan buat?
“Tidak kisah dengan siapa, mana tahu PH akan boleh bersama dengan Umno (akan datang). Tidak tahu lagi. Boleh jadi. Sebab ini fikiran orang ramai (penyokong) yang katakan kita kena wujudkan satu kerajaan yang stabil. Tidak boleh ada kerajaan seperti sekarang di mana PM boleh diugut oleh segelintir orang. Sebab hanya ada 2 – 3 majoriti saja,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Dr Xavier lagi, sekiranya masalah pembentukan koalisi tidak berjaya disesesaikan sebelum PRU maka ianya akan berlanjutan dengan perbincangan selepas PRU bagi membentuk kerajaan yang stabil dan mampu membuat perubahan kepada negara.