Kerajaan darurat Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menjelaskan kepada rakyat adakah Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) akan berkubur berikutan pelaksanaan pemerintahan darurat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir berkata, berikutan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak bersidang terdapat kemungkinan RMK-12 itu tidak akan dibentang pada tahun ini.
“RMK-12 yang sepatutnya dibentangkan pada 6 Ogos 2020 kemudiannya ditunda kepada Januari 2021 dengan alasan membolehkan ia dikaji semula, susulan kesan ekonomi dunia akibat penularan wabak Covid-19.
“Walaupun hakikatnya antara punca penangguhan tersebut adalah kerana berlakunya pertukaran kerajan akibat pengkhianatan Langkah Sheraton yang lalu.
“Namun melihat kepada kenyataan PM terkait hal darurat bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang, ini akan menimbulkan persoalan berkenaan pembentangan RMK-12, serta sejauh mana hala tuju perancangan ekonomi mampan dapat direncanakan oleh kerajaan,” kata Akmal dalam satu kenyataan.
RMK-12 menurut Ahli Parlimen Johor Baharu itu penting ketika proklamasi darurat yang diumumkan oleh PM Muhyiddin bermula 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 bakal mencipta suatu malapetaka terhadap ekonomi negara, sewaktu para pelabur sudah mula melihat negara jiran sebagai pilihan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Pembentangan pelan ekonomi tersebut katanya, perlu dibuat kerana ekonomi tidak lagi boleh dilaksanakan sebagaimana biasa jika Malaysia ingin dilihat berdaya saing dan inklusif dalam tempoh lima tahun lagi
Namun amat malang, kata Akmal sekiranya pembantangan RMK-12 ditangguhkan.
“Melihat kenyataan Parlimen tidak akan bersidang sepanjang tempoh darurat, sudah pastinya pembentangan RMK-12 sekali lagi ditangguh dan ini akan memberi suatu cerminan kepada rakyat serta pelabur luar bahawa tiada suatu perancangan sistematik dan tuntas dalam mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang sepatutnya.
“Kecelaruan dan kelemahan pentadbiran Kerajaan Darurat ini bukan sekadar memberi impak negatif kepada ekonomi untuk tempoh sementara waktu, tetapi mempunyai implikasi buruk untuk jangka sederhana dan panjang,” katanya lagi.