Kerajaan darurat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diminta untuk mengkaji semula sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2021.
Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung berkata, sasaran pertumbuhan 7.5% sebagaimana yang dinyatakan dalam pembentangan Belanjawan 2021 tidak lagi realistik berdasarkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan proklamasi darurat yang telah menggugat ekonomi.
“Saya menggesa kerajaan menyemak semula sasaran pertumbuhan KDNK 6.5-7.5% tahun ini kerana ia tidak realistik dan tidak praktikal setelah pengenaan perintah lockdown kedua atau PKP 2.0.
“Kegiatan ekonomi terjejas teruk berikutan penguatkuasaan PKP 2.0 ini di sekurang-kurangnya tujuh negeri. Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah merangkumi hampir 70% ekonomi Malaysia.
“Negeri penjana pertumbuhan utama seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor akan sangat terkesan setelah jangkitan Covid-19 tidak dapat dikawal. Enjin pertumbuhan yang dimulakan pada awal tahun ini telah terhalang, yang mana penjanaan semula ekonomi kelihatan tidak mungkin berlaku untuk sepanjang tahun.
“Malah Bank Islam dalam kenyataannya berkata sasaran pertumbuhan sebelum ini sebagai “tidak dapat dicapai”, dan telah mengubah ramalan kepada hanya 4% dari 7.5%,” kata Chean Chung dalam satu kenyataan.
Menurut ADUN Semambu itu lagi, kegagalan kerajaan Perikatan Nasional sepanjang tahun lalu menarik banyak pelaburan langsung asing (FDI) memburukkan lagi keadaan.
Malah perisytiharan darurat menyebabkan pelabur asing yang telah bertapak merancang untuk membawa keluar modal berikutan situasi politik tidak menentu di Malaysia.
“Kegagalan untuk menarik pelaburan yang berkualiti memberi tamparan kepada usaha pemulihan. Indonesia telah meluluskan Undang-Undang Penciptaan Pekerjaan, menyemak 79 undang-undang dan menghapuskan ribuan peraturan yang menyekat. Kemboja menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China pada 5 Oktober tahun lalu.
“Indonesia, Singapura dan Vietnam menerima lebih daripada 80%, AS$ 156 bilion FDI yang berjaya ditarik oleh negara-negara ASEAN pada tahun 2020. Hanya 5%, atau AS$ 7.8 bilion pergi ke Malaysia.
“Rampasan kuasa politik yang hodoh dimulakan oleh Perikatan Nasional tahun lalu secara pasti telah menyumbang kepada kemerosotan keadaan pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Tambah Chean Chung, oleh kerana Bank Negara Malaysia akan memutuskan kadar faedah esok, yang dalam jangkaan banyak pihak akan memotong kadar faedah maka pemerintah seharusnya menyediakan lebih banyak bantuan untuk perusahaan mikro dan kecil yang rentan di bawah ketidaktentuan ekonomi semasa, seperti salun, kosmetik, bengkel dan aksesori kereta, produk perayaan bermusim, logistik dan perdagangan lain.
“Mereka kini terjejas dalam memastikan perniagaan terus berjalan tetapi dengan pelanggan yang minimum. Harga bahan bakar yang telah meningkat 51% daripada kadar harga Mei 2020 juga menambah kos perniagaan.
“Rakyat memerlukan pakej rangsangan yang lebih meluas tetapi lebih fokus. Namun di atas segalanya adalah kerajaan harus mengakui secara terbuka terhadap keadaan ekonomi semasa, dan menyemak semula sasaran pertumbuhan KDNK 2021,” katanya lagi.