Kerajaan darurat Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyididn Yassin gagal memfokuskan keutamaan dalam menangani masalah negara pada era pandemik Covid 19.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan hari ini tidak bertindak sebagaimana yang mereka janjikan dalam pembentangan Belanjawan 2021 untuk mengutamakan rakyat, sebaliknya masih terus mengutamakan kepentingan peribadi.
“Tidak ada satu kesedaran memberikan tumpuan, keutamaan. Tak bolehkah kita ketepikan kepentingan kontrak, tender runding terus, kepentingan peribadi, tumpu hanya untuk keselamatan dan kesihatan rakyat?” katanya dalam sidang media secara atas talian semalam.
Presiden KEADILAN itu juga menyentuh kegagalan kerajaan darurat menangani masalah ekonomi yang semakin merosot dan pelaburan langsung asing yang gagal ditarik oleh pentadbiran PM Muhyiddin sepanjang 2020 lalu.
“Kenyataan Menteri bercanggah dengan realiti. Umpamanya ekonomi bertambah baik, pelaburan bertambah, semua kenyataan yang mengelirukan dan bertentangan dengan hakikat sebenar.
“Semua kita tahu kilang ditutup sementara, dalam keadaan tertekan. Tetapi yang lebih berat bukan saja tidak ada pelaburan baru, industri yang ada pula berpindah termasuk ke Indonedia dan Vietnam.
“Ternyata (semua itu berlaku) kerana keyakinan kepada sistem politik dan kerajaan kian merorsot,” katanya.
Mengenai tindakan melawan Covid 19 yang terkial-kial, Anwar membidas PM Muhyiddin kerana tidak segera mendapatkan kerjasama pakar-pakar perubatan tempatan berkenaan cara-cara terbaik menangani wabak berkenaan.
“Dalam sidang Parlimen tahun lalu kita sebut apa salahnya dipanggil dan runding dengan pakar-pakar lain. Hakikatnya, setelah satu tahun baru PM kata nak runding dengan pakar lain.
“Pada hal akademi perubahan, pakar perubatan ada kesediaan, hospital swasta (sedia) beri khidmat, tiada sambutan dan sekarang guna kuasa darurat (dapatkan kerjasama) seolah-olah merampas,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menyentuh mengenai usaha Selangor mengurangkan beban rakyat dengan pakej tambahan yang menyelesaikan masalah rakyat seperti penyediaan makanan kepada barisan hadapan, bakul makanan serta membatalkan sejumlah bayaran balik pinjaman pelajaran di Yayasan Selangor.
Anwar berkata, sebagai kumpulan Ahli-ahli Parlimen pembangkang, sudah tiba masanya mereka diberi peluang menangani Covid 19 secara bersama agar lebih berkesan dan menarik pelabur yang gagal ditarik kerajaan.
Sekiranya Malaysia mampu tarik pelaburan, katanya, soal pekerjaan dan ekonomi tidak akan berbangkit lagi.