Program vaksiniasi Covid 19 kerajaan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka akan mengambil masa setahun memerlukan pemikiran baharu mengenai kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi murid-murid sekolah.
Menurut pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir dan Shukri Razab, sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan task force merentas parti politik bagi memperkasakan kaedah pembelajaran di rumah.
Menurut mereka, sekiranya pandemik Covid 19 tidak mampu diselesaikan dalam tempoh segera dan tiada satu kaedah berkesan dalam pendidikan maka para pelajar akan keciciran sepanjang 2021 hingga 2022.
“Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu memberi tumpuan terhadap pemerkasaan kaedah PdPR berbanding membuka semula sekolah memandangkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang masih tinggi, iaitu pada paras melebihi 1.0. Keadaan lebih berbahaya apabila muncul strain virus UK B117 yang lebih mudah menjangkiti kanak-kanak.
“Merujuk statistik pada November 2020, berlaku pola peningkatan yang membimbangkan terhadap kadar keciciran pelajar dengan peningkatan kepada 0.13 di peringkat sekolah rendah dan peningkatan daripada 1.14 peratus tahun 2019 kepada 1.26 peratus bagi sekolah menengah pada tahun 2020.
“Tanpa tindakan segera, masalah ini akan memberi kesan jangka masa panjang yang parah kepada negara iaitu peningkatan terhadap jurang generasi (gap generation).
“Lebih malang, data yang dikeluarkan oleh KPM sendiri pada April 2020 menunjukkan sebanyak 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran dalam talian.
“Manakala buku manual PdPR yang dikeluarkan KPM pula dilihat tidak cukup komprehensif dan meletakkan bebanan terlalu besar ke atas para guru.
“Sebagai contohnya para guru diminta menetapkan sendiri kaedah pentaksiran menilai prestasi murid. Juga masih tidak jelas sama ada guru-guru akan diminta menghabiskan sukatan mata pelajaran seperti norma biasa atau ada silibus khas yang telah disesuaikan dengan norma pembelajaran yang baharu,” kata mereka.
Sehubungan itu, kata Akmal dan Syukri, tiba masanya kaedah pembelajaran di rumah disusun semula dan diwujudkan kurikulum yang sempurna bukan secara ad hoc sebagaimana pada masa ini
Menurut kenyataan itu lagi, KPM juga perlu memandang serius terhadap situasi para pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti SPM dan STPM. Semestinya emosi dan motivasi para pelajar ini terjejas akibat suasana genting maka hal itu akan mengganggu prestasi mereka dalam peperiksaan.
“Menteri KPM seharusnya mengambil langkah yang lebih proaktif dengan membentangkan pelan strategi pelaksanaan PdPR yang lebih sistematik, berkualiti dan cekap bagi tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan sebagai fasa awal.
“Hanya dengan cara ini semua pihak berkepentingan, khususnya guru-guru dan ibu bapa dapat memahami halatuju yang jelas tentang proses pembelajaran yang akan dilalui oleh para pelajar sepanjang tempoh genting ini.
“Justeru, AMK mencadangkan kepada Menteri KPM agar satu task force bersepadu diwujudkan bagi memperhalusi dan memperkemas sistem pembelajaran fasa PdPR. Task Force ini perlu melibatkan ahli parlimen dari pembangkang dan pihak-pihak berkepentingan daripada kumpulan civil society,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dan Setiausaha AMK Malaysia, Syukri Razab.