Gabungan NGO Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia hari ini menyerahkan memorandum ke Istana Negara menolak proklamasi darurat yang diisytiharkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lalu.
Menurut ketua koordinator gabungan 100 NGO itu, Mustapha Mansor Amer Mohd Isa, tujuan memorandum tersebut dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong adalah supaya baginda menimbangkan perisytiharan darurat boleh ditarik balik bagi mengembalikan kehidupan normal rakyat negara ini.
Selain itu, Mustapha juga menyeru agar rakyat menjadi medium sebaran am bagi menyedarkan semua pihak bahawa mengkritik tindakan kerajaan darurat Muhyiddin bukan bermakna menderhaka kepada Agong.
“Tuan-tuan juga ikut membantu dalam urusan kami. Kita sebar luaskan supaya rakyat Malaysia memahami apakah yang kita maksudkan. Kita memahami Raja Berperlembagaan, sistem demokrasi berparlimen dan tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan.
“Itu adalah hal yang terpenting dalam sistem bernegara. Sistem bernegara mestilah mematuhi Perlembagaan dan kita mengekalkan demokrasi berparlimen.
“Ada yang kata kita derhaka. Kita derhaka kalau kita mendeklarasikan perang kepada Raja contohnya. Tetapi kita hanya mahu menegur (dalam hal darurat),” katanya dalam sidang media berhampiran Istana Negara selepas menyerahkan memorandum kepada pegawai istana, pagi tadi.
Mengenai dakyah pihak penyokong Perikatan Nasional kononnya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendehaka kepada Agong apabila membawa kes perisytiharan darurat ke mahkamah, Mustapha berkata, Anwar tidak menyaman Agong tetapi PM yang telah hilang majoriti.
Mustapha juga mengingatkan, ketika darurat pertama kali dipohon Raja-raja Melayu telah menolak cadangan tersebut. Jadi tiada siapa yang menderhaka kepada Raja-raja Melayu.
“Apa yang dilakukan oleh Anwar bukan saman Agong tetapi saman kerajaan sekarang, PM yang hilang majoriti. Ada beza yang cukup ketara.
“Kepada yang mahu buat naratif Ketua Pembangkang derhaka….. hal ini ada kesan, bukan boleh sebut orang itu derhaka, orang ini derhaka
“Hari ini kita perlu sedarkan rakyat. JKOM sedang bermain fitnah kononnya pembangkang derhaka. Mana derhakanya? Kita terus hormat Raja Melayu, terus ikut SOP, mana derhakanya?” tanya beliau.
Sehubungan itu, Mustapha sekali lagi memohon kepada Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan rintihan rakyat di dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak istana dengan bijaksana.
“Saya sekali lagi memohon kepada Raja-raja Melayu, Duli-duli Yang Maha Mulia, memohon pertimbangan sewajarnya ke atas apa yang disampaikan oleh rakyat.
“Kami kumpul memorandum ini selama sebulan dan minta pandangan rakyat. Bukan dibuat oleh segelintir pihak sahaja. Keperitan hidup rakyat kita bawa dalam memorandum ini,” katanya.
Memorandum tersebut mempersembahkan kepada pengetahuan Yang di-Partuan Agong berhubung 7 perkara:
Ampun Tuanku, sembah patik mohon diampun.
- KAMI, NGO-NGO dan individu dari pelbagai latar belakang di seluruh dunia tidak berharap akan adanya pengumuman oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 12 Januari 2021 bahawa beliau telah menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk mengisytiharkan darurat bagi seluruh negara sehingga bulan Ogos 2021.
Pengisytiharan ini bukan saja telah menjatuhkan imej negara di seluruh dunia bahkan media antarabangsa telah menjadikan bahan ejekan ke atas Yang Dipertuan Agong dan kerajaan Malaysia.
Kami sebagai rakyat marhaen amat menyanjung tinggi Institusi Diraja yang bernaung di bawah payung Raja-Raja Berpelembagaan sejak dari awal penubuhan negara tercinta ini.
Hal seperti ini wajib dihentikan serta merta kerana keperluan darurat yang masih dipertikaikan dari segi Perlembagaan dan cadangannya juga dari seorang PM yang sudah hilang majoriti.
- Kami sangat bimbang kesan dari pengisytiharan darurat ini peranan semak dan imbang kepada kuasa eksekutif pentadbiran negara dan mendedahkan kerajaan kepada salah guna kuasa eksekutif yang tidak terkawal.
Kebimbangan kami berasas dengan bocornya surat tawaran kerja membina dewan di Parlimen Pagoh sebanyak rm 35 juta ( surat dilampirkan) tanpa melalui prosidur biasa. Dalam tempoh darurat yang sangat singkat, bagaimana projek ini boleh diluluskan tanpa mengambilkira penderitaan rakyat buat masa ini.
- Kami amat bersyukur dengan langkah munasabah yang diambil bagi menangani wabak Covid-19. Namun, alangkah lebih wajar jika tumpuan diutamakan kepada isu kesihatan rakyat, kelengkapan termasuk peruntukan terhadap petugas barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan petugas barisan hadapan).
- Akibat dari beberapa tindakan gopoh dari Perikatan Nasional yang dimulakan dengan pengumuman PKP kemudiaan darurat pula hingga bulan Ogos, rakyat sudah mula membuat protes terbuka di beberapa media sosial ( dilampirkan). Apakah protes rakyat ini akan mereda sekiranya mereka masih belum berpuas hati dengan janji kosong dari Perikatan Nasional selama ini. Ditambah pula dengan harga barang yang sudah terlalu tinggi.
Kami tidak yakin kemarahan rakyat akan mereda sekiranya kadar pengangguran semakin meningkat, kemiskinan makin bertambah, peluang berniaga ghaib dan penafian hak mereka seperti pengeluaran wang simpanan KWSP tidak mampu diselesaikan.
- Kami berpandangan bahawa undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan sebelum ini adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini.
- Bagi kami Perdana Menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sesungguhnya tidak terkait dengan permasalahan Covid-19, banjir atau ekonomi.
- Oleh itu demi menyelamatkan keamanan, kesejahteraan dan kestabilan politik di negara ini, kami bermohon ke bawah Duli Raja-Raja Melayu untuk menarik semula persetujuan perlaksanaan Ordinan Darurat ini dengan segera.