Tahun Baharu Cina 2021 buat pertama kali sambutan dilaksanakan secara terbatas dengan amalan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang berkecamuk dan sering kali ditukar oleh pemerintah.
Dalam perutusan Tahun Baharu Cina, Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan rakyat berketurunan Tiong Hua perlu terus meraikan perayaan dengan penuh kreatif, bersemangat muhibah di samping mengekalkan adat resam.
“Sudah pasti yang paling janggal ialah menyambut perayaan dalam norma baharu. Segalanya serba lain menyambut di kala pandemik. Acapkali saya memikirkan nasib rakan-rakan kita yang kehilangan punca pendapatan, besar ujian mereka.
“Namun dalam kelainan ada kemeriahannya, kerana inilah makna perayaan, mensyukuri nikmat yang diberikan. Kita sambut dengan penuh kelainan sambil mengekalkan adat resam yang ada.
“Tetapi amatlah tidak wajar, bila mana kita sedaya kreativiti menyambut perayaan ini dalam suasana norma baharu, kerajaan gagal mewujudkan SOP yang jelas dan sensitif.
“Apa logiknya kita bersesak di pasar malam tetapi tidak boleh berkumpul bersama keluarga di rumah sendiri? Bagaimana mahu memimpin Malaysia yang majmuk sekiranya masih gagal memahami budaya setiap kaum di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, beliau kecewa terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang telah setahun memerintah namun masih belum cekap dalam menyediakan SOP yang relevan dan sesuai untuk semua.
Katanya, bagi Tahun Baharu Cina, selepas rakyat menyuarakan penentangan dan tular di media sosial, barulah kerajaan terhegeh-hegeh mengubah SOP. Akhirnya rakyat keliru dengan SOP yang berkecamuk di sana sini.
“Kita perlukan kerajaan kuat yang proaktif bukan reaktif seperti sekarang. Kita masih belum menang melawan pandemik, tsunami ekonomi pula menimpa kita.
“Segala statistik dan data ekonomi tidak menyebelahi ketika ini. KDNK menyusut 5.6% terburuk dalam sejarah sejak tahun 1998. Bagaimana mahu meyakinkan para pelabur sekiranya merangka SOP perayaan pun kerajaan kelam kabut.
“Saya cukup faham nasib rakan-rakan kita yang hilang punca pendapatan akibat perniagaan merosot dan banyak juga tutup. Setahun yang lepas saya bergaji timbalan menteri, sekelip mata hilang pendapatan tersebut. Alhamdulilah masih ada gaji Ahli Parlimen, dan dapatlah membantu rakyat. Tetapi amat sedih nasib mereka yang hilang terus punca pendapatan.
“Sampai bila kita hendak bimbang dengan pencaturan kerajaan pada hari ini? Berapa kali lagi kita perlu masuk ke gelanggang media sosial untuk mengajar kerajaan mengenai SOP yang betul?” tanyanya lagi.
Bagaimanapun, Shamsul berharap agar Tahun Baharu Lunar kali ini akan mendatangkan tuah dengan berakhirnya pandemik serta negara mendapat kepimpinan yang lebih memahami ekonomi.
“Perayaan ini menyambut kedatangan Tahun Lembu Emas. Lembu atau seladang isyarat keuntungan yang ditunggu-tunggu oleh para pelabur dan semoga tahun lembu ini menghadirkan kekayaan, kemakmuran dan kesejahteraan buat kita semua,” katanya lagi.