KUALA TERENGGANU : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato Seri Anwar ibrahim tidak bersetuju dan menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pemimpin-pemimpin PAS dan PKR ‘tidak mesra’ lagi sebagaimana sebelum ini.
Beliau berkata, semua mesyuarat berjalan lancar sebagaimana dijadualkan dan tidak ada sebarang masalah yang timbul.
Beliau turut menegaskan pembahagian kerusi di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat melibatkan PAS, PKR dan DAP hampir selesai kecuali di beberapa negeri seperti Perak dan Pulau Pinang.
“Peruntukan kerusi di kebanyakan negeri hampir diselesaikan, hanya satu atau dua kerusi yang belum dimuktamadkan seperti dua kerusi di Perak dan satu di Pulau Pinang yang memerlukan perbincangan lanjut.
“Di Kedah, daripada 40 kerusi parlimen dan negeri, mungkin hanya satu atau dua belum diputuskan. Ini bermakna kemajuan yang sangat baik,” katanya kepada sidang akhbar selepas melancarkan jentera pilihan raya umum PKR Terengganu, di sini, hari ini.
Pada sebelah malamnya Anwar berceraah di dua tempat di kawasan lapang berhampiran Flet Gelong Bilal Kuala Terengganu dan di Dungun Terengganu.
Pemimpin PAS, Dato’ Tengku Hassan Omar yang juga ADUN Ladang mewakili PAS berceramah di Flet Gelong Bilal.
Manakala di Dungun, Setiausaha Agong PAS, Dato’ Mustafa Ali berucap dihadapan ribuan manusia yang membanjiri kedua-dua ceramah tersebut.