Pelbagai pihak melihat tawaran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk melantik pemimpin Umno sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebangai isyarat betapa tersepitnya Bersatu untuk terus mengekalkan kuasa selepas perintah darurat berakhir pada Ogos ini.
Menurut Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, tawaran jawatan itu lebih kepada langkah menyelamatkan kerajaan PN yang telah kehilangan majoriti di Parlimen selepas beberapa Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan pada Januari lalu.
Katanya, kerajaan PN akan karam sebaik sahaja darurat tamat. Namun alasan untuk menyambung hayat kekuasaan kelihatan cerah sekiranya Umno kembali menyokong pembentukan kerajaan baharu bersama Bersatu.
“Apa yang saya nampak, itulah yang akan berlaku. Dia (Muhyiddin) hanya nak selamatkan dirinya dan Bersatu. Dan sekiranya pemimpin Umno terima tawaran tersebut pun, itu tidak merisaukan kita (pembangkang) kerana parti itu memang sebahagian daripada kerajaan dan rakyat pula menolak mereka secara total.
“Bagusnya, apabila dia (Umno) sudah sahkan bekerjasama dengan kepimpinan Muyhiddin yang luar biasa bobroknya ini, jadi (senang) untuk kita berdepan dengan pilihan raya. Itu memang cantiklah,” kata Abdullah ketika dihubungi Suara Keadilan.
Namun bagi beliau, perkara yang sewajarnya menjadi fokus utama Muhyiddin ketika ini ialah bagaimana hendak mengatasi penularan wabak Covid-19, bukannya hayat politik beliau semata-mata.
Rakyat, katanya akan muak jika Muhyiddin tidak ada hala tuju menyelamatkan nyawa warga dan memulihkan ekonomi yang meleset.
“Kita nak bagitahu dia kena tumpukan pada isu Covid ini, bukan nak jaga kuasa sahaja. Rakyat pula ditinggalkan hidup sengsara dan ini sudah melampaui batas sebagai pemimpin. Isu Covid lagi besar berbanding jawatan TPM.
“Negara besar dah ada cara nak atas Covid. Kita pula makin lama makin mundur (ekonomi memeset), tak ada hala tuju. Saya nampak tak ada langsung penyelesaian. TPM itu hanya sub pentadbiran, dia nak lantik siapa pun lantiklah,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasional masih belum menawarkan secara rasmi jawatan TPM kepada Umno meski pun media telah melaporkannya sejak beberapa hari lalu.
Hal itu menyebabkan sebahagian pemimpin Umno melihat tawaran berkenaan tidak ikhlas dan mahu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kekal dengan keputusan yang dibuat oleh majoriti Bahagian Umno yang mahu memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu dan PN secepat mungkin.