Kerajaan pengkhianat Perikatan Nasional (PN) telah memasuki usia setahun sejak Langkah Sheraton pada Februari 2020 lalu.
Propaganda kononnya akan wujud kerajaan stabil tanpa isu peralihan kuasa hari ini ternyata menipu rakyat dengan keberadaan kerajaan yang amat lemah, dijauhi pelabur dan gagal mengawal merebaknya pandemik Covid 19.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir, sesuatu yang dibina di atas dasar pengkhianatan pasti akan menerima musibah dan negara tidak akan mampu bergerak di atas landasan sebenar dengan kerajaan yang tiada keabsahan.
“Kini dengan siri kegagalan dan kecelaruan PN dalam mengendalikan krisis Covid-19, amalan dua darjat prosedur operasi standard (SOP), pelaksanaan darurat yang menjadi pertikaian dan pendidikan negara yang semakin cacamarba, bukan sahaja membebankan rakyat bahkan mencalarkan imej Malaysia di pentas antarabangsa.
“Maka tidak hairanlah ekonomi negara kian merudum dengan kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) sehingga 68%, keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menguncup hingga -5.6% jauh dari unjuran Menteri Kewangan, penurunan penarafan kewangan oleh Fitch Rating dari A- kepada BBB+ serta Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang jatuh 6 anak tangga ke kedudukan 57.
“Resam pengkhianatan tidak akan bertahan lama dan pasti tumbang. Rakyat akan bangkit memadamkan detik hitam demokrasi Malaysia dengan memilih parti yang tulen dan ikhlas membawa obor perjuangan reformasi demi menzahirkan Malaysia Baharu pada Pilihanraya Umum ke-15 nanti,” katanya dalam kenyataan mengenang detik pengkhianatan 23 Februari 2020.
Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, rakyat tidak akan tertipu dengan hujah kononnya kerajaan ‘tebuk atap’ PN ditubuhkan secara spontan selepas bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad meletak jawatan.
Katanya, bukti-bukti semakin terbongkar wujudnya perancangan untuk berkhianat sejak berbulan-bupan sebelumnya, termasuk beberapa pemimin Pakatan Harapan yang sengaja mengaturkan kekalahan dalam pilihan raya kecil untuk mewajarkan tindakan memisahkan diri dari KEADILAN, DAP dan Amanah.
Katanya, sikap Dr Mahathir yang sengaja berdolak dalih mengenai penyerahan kuasa juga dimaklumi rakyat sebagai punca keretakan hubungan dalam PH.
“Langkah Sheraton yang didalangi pengkhianat bersama kuncu-kuncu mereka hingga tertubuhnya PN merupakan bukti jelas bahawa semua itu sudah dirancang berbulan-bulan lamanya. Sabotaj dalaman ini telah menjawab pertikaian terhadap beberapa keputusan Kerajaan PH ketika itu yang tidak selari dengan perjuangan reformasi.
“Jika diimbas kenyataan Tun Dr Mahathir dari sebelum Langkah Sheraton hingga kini yang membelakangi janji, tidak menjiwai agenda reformasi serta berterusan menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pasti menguatkan dakwaan bahawa beliau juga adalah sebahagian daripada watak utama yang mengkhianati PH,” katanya.
Oleh itu, menurut Akmal lagi, AMK tidak akan menoleh ke belakang lagi selepas perkhianatan dengan mengambil jalan berprinsip demi mempertahankan agenda reformasi. Sejak itu, katanya AMK memfokuskan kepada isu-isu rakyat terutamanya ekonomi dan anak muda.
Beliau berharap rakyat Malaysia menuju PRU 15 akan melihat parti mana yang sebenarnya memperjuangkan kehidupan dan keselesaan rakyat serta parti mana yang hanya bermain politik dan makan gaji buta tanpa memperbaiki negara.