Apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan sekolah kembali dibuka pada Mac 2021, rakyat tertanya-tanya mengapakah hanya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kekal dihalang daripada bersidang?
Menurut Pengarah Komunikasi AMK Johor, Firdaus Zainal, hampir tidak ada sektor di Malaysia yang tidak dibuka ketika jangkitan Covid 19 masih berada di atas 2,000 kes sehari, kecuali tempat membuat undang-undang di peringkat Persekutuan dan Negeri berkenaan.
Katanya, ternyata alasan Covid tidak boleh lagi dipakai untuk menghalang kedua-dua institusi itu terus ditutup
“Seminggu lagi sekolah bakal dibuka, kami menanti khabar baik kerajaan minoriti Perikatan Nasional dipimpin Tan Sri Muhiyuddin Yassin untuk membuka semula sidang Parlimen demi kemakmuran demokrasi atau amaran bahaya kesihatan kanak-kanak kepada pandemik yang kami hadam dari KKM sebelum ini adalah hanya suatu momokan palsu demi pengekalan kuasa?
“Adakah virus sudah bijak memilih membiak ditempat syumulnya demokrasi atau virus baharu iaitu “Virus 109” telah menular sehinggakan sang pemerintah gerun jika parlimen dibuka semula. “Virus 109” ini menjangkiti ahli parlimen PN yang lain?
“Wajarlah angka 109 dipilih sebagai elemen sarkastik dari angka virus pandemik meskipun jumlah kerusi Parlimen sering berubah-ubah dan jelas tampak kerajaan PN ini tidak stabil sejak Mac 2020,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa alasan sidang Parlimen terus digantung kerana pandemik tidak lagi munasabah, sementara perintah darurat misalnya pada tahun 1948 – 1960an tidak pernah menghalang Parlimen bersidang.
“Alasan sidang Parlimen digantung kerana pandemik ini tidak lagi munasabah malah desakan gabungan Ahli Parlimen dari luar negara agar sidang Parlimen dibuka kembali supaya ada daya ‘check and balance’ Itu berlaku jika tidak, pemberian kuasa kebal kepada pemerintah untuk melakukan apa sahaja disebalik darurat ini.
“Satu lagi perbandingan menerjang ke kepala, kawalan SOP di Parlimen adalah lebih ketat berbanding di sekolah. Manakan tidak setiap Ahli Parlimen akan jalani swab test mengikut rutin ketetapan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat berbanding anak murid di sekolah hanya jalani pemeriksaan suhu dan daftar nama setiap hari,” katanya lagi.
Beliau memberi ingatan jangan sehingga rakyat melihat pelajar sekolah lebih berani berbanding Ahli Parlimen menghadapai virus Covid.
Oleh itu, katanya, tiada sebab pembukaan sidang Parlimen dan DUN ditangguhkan lagi.