Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melakukan apa sahaja cara untuk meningkatkan sokongan majoriti dalam suasana pandemik Covid 19 ini amat mengecewakan rakyat.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Negeri Wilayah Persekutuan, Rohaidah Mamat, rakyat mahukan kerajaan yang serius menangani wabak maut bukannya sibuk bermain politik ketika ekonomi menurudum.
“Ketika ini negara mengalami pandemik virus Covid-19 yang telah membunuh lebih satu ribu orang dan telah melumpuhkan banyak sektor ekonomi.
“Seharusnya, Kerajaan di bawah Perdana Menteri PN dan barisan menterinya lebih memberi fokus kepada penyelesaian masalah jangka panjang dan bukanya sibuk “mengintai” ahli parlimen pembangkang bagi mencari majoriti sendiri,” tegas Rohaidah dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau juga kesal dengan sikap pentingkan diri Ahli parlimen Julau dan Tebrau yang sanggup menodai kecercayaan rakyat dan bergabung dengan Kerajaan PN yang telah hilang majoriti.
“Wanita KEADILAN Wilayah Persekutuan kecewa akan tindakan 2 orang tersebut yang telah mengkhianati pengundi-pengundi di kawasan mereka dengan memilih melompat kepada kerajaan tanpa majoriti Perikatan Nasional.
“Pengkhianatan ini telah membawa demokrasi negara ke titik terendah. Inilah dampak buruk yang terjadi apabila kerajaan tanpa keabsahan PN memerintah Malaysia sejak setahun yang lalu,” katanya.
Oleh itu, Rohaidah lagi, kerajaan yang mensia-siakan mandat dan menyusahkan hidup rakyat itu tidak lagi diundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya menyeru semua pihak, terutama pengundi-pengundi untuk menolak mereka yang telah menjadi pengkhianat dalam PRU yang akan datang,” katanya.