Isu yang dimainkan media arus perdana kononnya telah wujud kerjasama di antara KEADILAN atau Pakatan Harapan (PH) bersama Umno tidak tepat dan sengaja diperbesar-besarkan sejak beberapa hari lalu.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak timbul soal wujudnya persefahaman kerana perbincangan masih di peringkat awal dan asas.
“Sejak liputan Mingguan Malaysia Ahad lalu banyak persoalan dibangkitkan mengenai perbincangan saya dengan beberapa pimpinan Umno. Kalau kita baca seluruh isi kandungan (wawancara) itu sudah tahu bahawa agak terlalu awal untuk kita mengatakan ada suatu perjanjian atau persefahaman.
“Saya kata ada perbincangan awal antara pimpinan KEADILAN dan pimpinan Umno. Ditanya pula adakah saudara nafikan kemungkinan kerjasama? Saya tidak nafikan ‘kemungkinan’ kerjasama.
“Saya harap ia memberi penjelasan, kerana ini yang saya jelaskan kepada Ahli-ahli Parlimen dan pimpinan negeri supaya disampaikan kepada akar umbi kita.
“Tetapi janganlah mengandaikan seolah-olah ini adalah persefahaman dan saya tengok komentar seolah-olah ada perjanjian. Kemudian bangkitlah soal kluster makamah, soal siasatan dan lain-lain,” katanya dalam sidang media di Hotel Eastin, Petaling Jaya, petang tadi.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, pertemuan awal dengan pimpinan Umno hanya berkisar soal prinsip perjuangan PH dan 4 teras Perlembagaan Persekutuan yang telah diterima sebagai prinsip perjuangan PH serta KEADILAN.
“Saya menegaskan prinsip ini. Iaitu 4 perkara yang dimeterai dalam Perlembagaan negara. Pertama soal bahasa, soal Islam, hak keistimewaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Itu pendirian KEADILAN, pendirian PH dan itu juga pendirian Umno.
“Cuma kita tegaskan hal semua warganegara sama ada Melayu – perlu kita bela kerana majoriti Melayu itu miskin. Tetapi kita juga tegaskan keperluan kepada setiap warganegara, India, Cina, Iban, Kadazan yang mempunyai hak dalam negara kita.
“Dasar ekonomi supaya jangan kita pinggirkan kemiskinan, sama ada orang Melayu, miskin bandar juga menyangkut Cina, India estet juga di Sabah dan Sarawak. Ini menjadi isu utama perbincangan dengan Umno,” katanya.
Menjawab soalan wartawan adakah perjumpaan tersebut melibatkan pemimpin-pemimpin utama Umno, Datuk Seri Anwar berkata, beliau menemui semua orang sebagaimana sebelum ini, kerjasama antara PH dan Bersatu, beliau bertemu dengan Tun Mahathir Mohamad.
“Saya jumpa semua, kerjasama dengan Tun Mahathir pun saya bincang dulu. Kenapa tak boleh dengan orang lain?” katanya lagi.