Mesyuarat berkala Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) petang tadi berjalan lancar dan mengambil beberapa keputusan penting.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan seusai mesyuarat tersebut terdapat beberapa perkara utama akan dilaksanakan oleh PH pada minggu-minggu berikutnya.
“Ahli-Ahli Parlimen PH bersetuju untuk hadir ke taklimat berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari Isnin, 22 Mac.
“Ahli-Ahli Parlimen PH dan pembangkang juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang di Parlimen pada hari Isnin.
“Pertemuan itu akan menyaksikan pembentangan serta perbincangan berkenaan isu vaksin, ekonomi, isu-isu semasa serta menegaskan bahawasanya Parlimen boleh dan perlu bersidang tatkala Darurat berkuatkuasa.
“Satu pertemuan tertutup turut akan diadakan di antara Majlis Presiden dan wakil-wakil kedutaan asing pada 24 Mac 2021,” kata kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Majlis Presiden PH juga mengumumkan pelantikan Chong Eng dari DAP sebagai Ketua Wanita PH yang baharu.
Untuk rekod, pertemuan pemimpin PH dengan wakil-wakil kedutaan asing sebelum ini berlaku pada Januari 2018, iaitu bertemu wakil-wakil daripada Kesatuan Eropah (EU), sebelum gabungan itu menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum, Mei 2018.