Serangan tanpa asas yang dibuat oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke atas Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh merugikan Umno dalam ‘percaturan’ politik jangka panjang parti itu.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandal Mohd Akin berkata, selaku pemimpin peringkat ketiga tertinggi dalam ranking Umno, Ismail seharusnya tidak mengambil pendirian menyerang atau mempersalahkan Datuk Seri Anwar kononnya cuba memecah belahkan parti Melayu itu dengan ‘ungkapan’ telah mengadakan rundingan bersama pemimpin tertentu Umno.
“Persoalan saya, kenapa Datuk Seri Ismail perlu mempersalahkan Datuk Seri Anwar? Umno punyai ketuanya dan sewajarnya dalam prinsip organisasi, beliau sebagai Naib Presiden berbincang dengan Presiden beliau dan bukannya meletakkan kesalahan kepada Datuk Seri Anwar.
“Kedua, saya percaya dan yakin bahawa Umno akan lebih kukuh dan bersatu jika tiada pengkhianat, dan tiada pengkhianatan yang dibuai dengan jawatan ekoran kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (BN).
“Umno juga telah dilemahkan oleh pengkhianat yang bukan sahaja bermaharajalela dalam parti itu tetapi juga parti-parti lain – termasuklah KEADILAN.
“Ahli-ahli Parlimen dipaksa menghentikan sokongan terhadap parti mereka melalui ugutan dan keluar menjadi Ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan. Segala yang berlaku ini hanya demi kepentingan Bersatu dan Perdana Menteri,” kata Shamsul dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, KEADILAN menghargai kebijaksanaan sebahagian besar pemimpin Umno dan kesediaan pimpinan parti itu untuk berunding demi memperbaiki hala tuju politik Malaysia.
Katanya, ramai dari kalangan ahli Umno yang menyedari bahawa parti tersebut ketika ini dibayangi oleh masa lampau yang dilemahkan oleh korupsi, pertembungan dalaman dan ketamakan individu terhadap kuasa.
Oleh itu, ujarnya, tiba masa Umno bergerak ke arah yang lebih relevan dengan perkembangan politik semasa.
“Daripada mencuba menyalahkan Datuk Seri Anwar untuk segala masalah Umno, Datuk Seri Ismail sepatutnya mengakui bahawa sebahagian ahli Umno sedar satu-satunya jalan untuk terus bertahan dan kekal relevan adalah dengan mewujudkan kerjasama dengan parti lain atas dasar nilai yang dikongsi bersama.
“Apakah nilai-nilai tersebut? Nilai tersebut adalah yang selaras dengan aspirasi rakyat didasari perpaduan, demokrasi, kemakmuran bersama dan mewujudkan kerajaan yang menyebarluaskan integriti serta menegakkan tadbir urus yang baik.
“Apa pun ahli Umno kini menyedari bahawa kerjasama parti bersama Bersatu hanyalah didasari oleh keinginan Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin untuk kekal berkuasa, atas apa cara sekalipun,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Shamsul menasihatkan Ismail Sabri agar mengadakan musyawarah krisis bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan parti
Katanya, Ismail perlu membincangkan agenda bagaimana untuk melawan ketidakrelevanan Umno yang didalangi Bersatu dan Muhyiddin supaya tidak ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 15 kelak.