Laporan-laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan Perdana Menteri (PM) dan para menteri menjadi inti perbincangan pertemuan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki, petang tadi.
Datuk Seri Anwar menimbulkan keresahan rakyat berhubung kes-kes tertentu yang seolah-olah tidak disiasat oleh suruhanjaya berkenaan melibatkan golongan elit tertentu.
“Saya katakan banyak laporan yang dibuat kepada banyak pihak, termasuk PM dan menteri-menteri. Mengapakah tiada siasatan?
“Mengapa kedudukan itu menyelamatkan seseorang dari pertuduhan rasuah. Padahal kita kempen, suruh anak-anak sekolah baca, sekarang pula ada kursus persijilan anti rasuah di universiti. Padahal mereka (rakyat) tahu laporan rasuah, pemimpin besar terlepas. Siapa yang tidak tahu ada pemimpin hidup amat mewah dan kekayaan melimpah ruah tetapi tidak ada tindakan
“SPRM jawab (isu berkenaan), tidak benar ‘kami melindungi’. Siasatan diteruskan walaupun kami tidak mengumumkan. Tidak, saya sepenuhnya (belum) puas hati kerana belum ada dalam sejarah kita ini orang yang berkuasa dilepaskan begitu (sahaja),” katanya dalam sidang media di luar Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya.
Mengenai pertanyaan wartawan, apakah kes-kes cubaan merasuah Ahli Parlimen KEADILAN ditimbulkan, Datuk Seri Anwar berkata beliau tidak berbincang kes demi kes bersama Azam. Namun membicarakannya secara umum.
“Saya faham bahawa tidak wajar SPRM bincang kes-kes dengan saya. Kita bincang umum jadi saya bangkitkan pengalaman saya. Cuma dia bagi jaminan dia akan laksanakan (siasatan) dengan telus dan bebas. Dan saya katakan tugas saya ialah memerhati dan memantau,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menekankan agar kes-kes tersebut disiasat segera. Katanya, langkah bertemu SPRM adalah untuk melindungi Ahli Parlimen daripada terus terdedah kepada ugutan atau tawaran.
“Cuma itu langkah saya, langkah SPRM mereka mesti siasat. Kalau tidak jadi lepas. Jadi MP for sale,” katanya.
Namun secara keseluruhan Ahli Parlimen Port Dickson itu berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh SPRM.
Beliau memuji sikap prihatin dan lunak SPRM mendengar pandangannya dan mencadangkan pada masa hadapan agar diadakan pertemuan antara Ahli-ahli Parlimen dan SPRM bagi mendedahkan usaha dan fungsi SPRM serta usaha lebih berkesan membanteras rasuah.