Dakwaan wujud kartel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador yang cuba mengganggu gugat kedudukan beliau adalah sesuatu yang sangat serius.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Kerajaan Perikatan Nasional tidak boleh mengambil remeh atau ‘memejamkan sebelah mata’ terhadap dakwaan seperti itu.
Katanya, oleh kerana pihak yang mengadu adalah KPN sendiri maka siasatan perlu dilakukan oleh satu suruhanjaya khas.
“Saya mengusulkan kepada Kabinet Kerajaan Darurat pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang isu-isu berkaitan integriti dan kepincangan dalam Polis Diraja Malaysia yang didedahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di media baru-baru ini,” katanya.
Menurut Hassan, hanya suruhanjaya diraja badan yang dikira paling layak menyiasat dan sekiranya terdapat sebarang salah laku maka tindakan tegas perlu diambil kepada pihak yang terlibat.
Pada 18 Mac lalu, Abdul Hamid Bador mendedahkan dalam program Sinar Live bersama KPN bahawa wujudnya kartel dalam PDRM yang mahu mendominasi pasukan keselamatan negara dan bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.
“Jadi saya ingin menasihatkan mereka, hentikan perbuatan jijik ini, sedar diri bahawa pasukan ini bukan kita punya, bukan padang permainan kita,” katanya dalam program tersebut yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar