Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengecam keras tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan Undi 18 ke tahun 2022 serta kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak memperjuangkan hak rakyat berumur 18 tahun dibenar mengundi sebagaimana diluluskan Parlimen.
Tegas Majlis Presiden PH, sekiranya pelaksanaan Undi 18 itu ditangguhkan maka seharusnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 turut ditangguhkan ke tarikh Undi 18 dibenarkan berkuatkuasa.
“PH berpendirian PRU 15 tidak patut diadakan selagi Undi 18 tidak dilaksana sepenuhnya.
“Sekiranya PRU 15 diadakan sebelum Undi 18 dilaksana, ianya akan menafikan suara 3.8 juta anak muda dan menjadi dosa terbesar Kerajaan PN kepada generasi akan datang,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Majlis Presiden juga mengingatkan kerajaan PN bahawa penangguhan itu merupakan satu pelanggaran kepada Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dilakukan dengan alasan darurat atau Parlimen digantung.
“Ini jelas melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan bersejarah pada Julai 2019, bagi membolehkan warga negara berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi, serta menjadi calon dalam pilihan raya.
“Tindakan penangguhan ini secara terang-terangan membelakangkan suara rakyat Malaysia, dan menafikan hak anak muda untuk memilih masa depan mereka.
“SPR mesti bertanggungjawab sepenuhnya di atas penangguhan ini yang merupakan satu kegagalan besar kerana melanggari Perlembagaan Malaysia.
“Penggantunggan Parlimen tidak harus disalahgunakan untuk membelakangkan Perlembagaan dengan sewenang-wenangnya. Kegagalan ini juga mencerminkan satu kelompongan SPR yang tidak bebas, menyalahi perjalanan proses perundangan dan betapa lemahnya dedikasi SPR terhadap semangat demokrasi itu sendiri,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.