Kebijaksanaan polisi pelaburan selektif Malaysia menjadi kenyataan apabila syarikat Google dan Facebook secara ‘selektif’ meminggirkan Malaysia daripada projek kabel dasar laut terbaharu kedua-dua syarikat terbabit.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek membangunkan dua kabel dasar laut, iaitu Echo dan Bifrost bagi meningkatkan keupayaan capaian internet antara Singapura, Indonesia dan benua Amerika Utara itu amat penting bagi kemajuan Malaysia pada masa hadapan dan tidak wajar negara ini ditinggalkan.
“Malaysia sekali lagi disisihkan, dan mungkin inilah matlamat yang ingin dicapai pemerintah melalui strategi selektif untuk menarik pelaburan asing dan meningkatkan keupayaan digital kita.
“Kebijakan dan ‘strategi’ ini ternyata gagal, jika melihat bagaimana syarikat-syarikat gergasi digital mengelak dan menyisihkan Malaysia.
“Gejala wabak Covid-19 telah menyebabkan penurunan mutu capaian internet di Malaysia tatkala kadar penggunaannya terus melonjak naik di pelbagai sektor.
“Berita seperti ini ternyata sesuatu yang membimbangkan dan ia adalah kehilangan besar pada negara dan juga memberi kesan pada keupayaan kita mendukung pendigitalan pesat ekonomi,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tanpa projek besar menaiktaraf capaian data maka rakyat Malaysia akan membayar yuran internet yang tinggi dengan kadar kelajuan yang rendah.
Katanya, terdapat beberapa laporan menunjukkan bahawa kehilangan peluang besar seperti ini akan memberi kesan negatif pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekurang-kurangnya 6.9%.
“Sebab mengapa Malaysia tidak diikutsertakan dalam projek mega seperti ini menurut Malaysia Internet Exchange adalah kerana kebijakan kerajaan PN yang melarang kapal-kapal asing untuk melayani dan membaiki kabel dasar laut di Malaysia.
“Pada bulan November 2020 Menteri Pengangkutan sekarang telah membatalkan keputusan yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi pengecualian pada kapal-kapal asing untuk menjalankan kerja ini. Beberapa syarikat teknologi langsung menyatakan ketidaksetujuan dengan langkah itu.
“Langkah kerajaan PN ini telah mewujudkan monopoli maya di mana Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk meningkatkan capaian telekomunikasi secara besar-besaran yang kini sangat diperlukan untuk membangunkan ekonomi digital,” katanya.
Bagaimanapun, Pengerusi PH itu tidak menolak keperluan Malaysia membangunkan keupayaan tempatan dalam insdustri telekomunikasi, terutamanya yang berkait dengan keselamatan negara.
Namun beliau menentang monopoli di mana ia akan menutup persaingan dan memberi kesan pada keupayaan negara dalam memacu transformasi digital.
“Kebijakan kerajaan terkait isu kabotaj memberi dampak yang amat negatif pada negara, dan meletakkan negara ini dalam keadaan yang lemah, termasuk aspek keselamatan negara.
“Dasar dan kebijakan pemerintah saat ini sangat tidak produktif lagi lemah, dan ia akan terus memberi dampak buruk pada ekonomi serta kebersaingan negara.
“Pendekatan yang tidak ortodoks dalam membina capaian 5G (internet berkelajuan tinggi) berkemungkinan akan mengalami masalah yang sama dalam hal terkait pelaburan asing,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Anwar mengulangi gesaan agar Parlimen dibuka secepat mungkin selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong bertarikh 24 Februari lalu, agar polisi-polisi negara dapat dibahas dan dikaji semula.