Ulang tahun ke 22 penubuhan KEADILAN wajar dihayati dengan iltizam yang lebih jitu untuk gagah mara ke hadapan merampas kembali Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh ahli dan penyokong KEADILAN bahawa perjuangan yang menuju kemenangan pasti akan menapis sampah sarap dari parti untuk memastikan individu yang benar-benar ikhlas atau layak sahaja diberi kuasa dan pemerintahan.
“Gerak kerja mesti (kita) dimantapkan, semangat mesti kuat, kesatuan mesti terus dipupuk dan jangan tergelincir dari idealisme perjuangan.
“Kendatipun begitu, setiap perjuangan yang akan menang pasti menghadirkan kita dengan pendekar-pendekar jadian dan jagoan kesiangan.
“Justeru, tekad murni kita dalam memungkinkan sebuah tatanan yang demokratik dan bertanggungjawab mesti terus menyala dan disemarakkan,” katanya dalam perutusan ulang tahun KEADILAN.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, pengalaman derita dan sensara perjuangan lalu harus dijadikan pedoman dan pembakar semangat untuk menempuh masa hadapan melawan rejim zalim yang hampir sama, walaupun diisi kelompok pemimpin berbeza.
“Tanggal 4 April ini kita kembali mengingati sejarah wadah tercinta KEADILAN yang menjangkau 22 tahun.
“Buat para pendukung gerakan reformasi, zaman derita dan kezaliman di masa lalu mesti terus menguatkan semangat dan tekad kita dalam memungkinkan perubahan.
“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita untuk terus kekal di landasan ini dan terus menjadi jurubicara rakyat pelbagai kaum,” katanya.
Anwar turut menitipkan beberapa rangkap pantun bagi para pendukung KEADILAN yang tidak kenal penat dan jemu melawan kezaliman selama 22 tahun penuh ranjau dan duri.