Audio kononnya perbualan antara Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi yang terus menerus mendapat komen menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) mendedahkan kepada rakyat keutamaan yang salah diberikan oleh kabinet Muhyiddin Yassin pada ketika ekonomi merudum dan rakyat hilang pekerjaan.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, isu audio yang telah menjadi kes polis tersebut tidak perlu diulas lagi oleh menteri kerajaan kerana mereka mempunyai tugas berat memulihkan negara pasca wabak Covid 19.
“Itulah tugas dia pengkhianat ini, kerja mereka bukan nak pertahankan negara tetapi nak pertahankan kuasa dan buat onar dalam pentadbiran
“Mereka tiada sokongan cukup (dalam PN) jadi dia pecah belahkan Umno.
“Kalau dia boleh khianat dengan perjanjian, kalau dia boleh melakukan pelonggaran undang-undang (menteri didenda minimum), apa masalahnya dari segi memecah belahkan komponen yang lain. Itu dah satu jadi agenda mereka untuk mengekalkan kuasa,” katanya.
Bagaimanapun menurut Abdullah, taktik memainkan audio atau video dan menuduh Anwar terlibat dalam isu berkenaan sudah basi dan tidak lagi menarik perhatian rakyat.
Anwar, katanya, telah diperlakukan dengan taktik sedemikian sejak lebih sedekad lalu tetapi malangnya tiada bukti yang konkrit atau boleh disahkan di mahkamah oleh pihak-pihak konspirator yang mendedahkannya.
Beliau menasihatkan pendukung PN agar bekerja untuk rakyat dan jangan mengulangi taktik-taktik basi yang tidak berjaya dilakukan oleh rejim terdahulu memburuk-burukkan Anwar.
“Persoalannya sekarang ini masalah negara, agenda rakyat, masalah orang tak kerja dan masalah kesusahan rakyat. Isu vaksin dan sebagainya perlu diutamakan
“Saya tak nampak perbualan telefon ini boleh jadi isu besar. Itu mungkin fitnah, sebab kita tahu benda macam itu, video pun boleh duplicate, inikan pulak benda-benda yang bersuara (tanpa imej),” katanya lagi.
Sehingga kini, lebih 3 menteri kerajaan PN dan seorang duta bertaraf menteri telah memberi komen mengenai audio Anwar – Zahid.
Kononnya mereka mengenali suara kedua-dua tokoh berkenaan. Namun komen mereka segera dipersoalkan netizen, mengapakah mereka gagal mengenali suara dan imej video sebelumnya, yang melibatkan skandal seorang menteri PN.