Menteri KPDNHEP yang muncul semalam dengan senarai panjang usaha dilakukan oleh kementeriannya untuk membendung kenaikan harga barang tidak membantu menurunkan harga.
Tambah malang, menteri tersebut memberi contoh harga ayam beku sedangkan yang riuh diperkatakan rakyat mengenai kenaikan harga ayam segar.
Bagi Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin, masalah tidak akan selesai jika ‘lain masalah yang dirunguti rakyat, lain pula contoh yang dibawa menteri’.
“Saya meneliti dengan penuh tekun kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri KPDNHEP semalam. Alhamdulillah, akhirnya beliau muncul ke permukaan. ‘Tahniah dan syabas’ atas senarai panjang usaha-usaha yang telah beliau sebutkan, namun malangnya, masalah harga barangan yang melambung di seluruh negara masih berlaku dan belum selesai.
“Untuk bergerak ke depan, pertama sekali menteri dan timbalan menteri perlu keluar daripada sindrom penafian. Usah berlindung di sebalik beberapa pasaraya seperti Tesco yang menjual ayam sejuk beku dengan harga rendah.
“Bezakan antara harga ayam segar dan harga ayam sejuk beku. Memukul rata kedua kategori ini dengan akhirnya membuat kesimpulan harga ayam masih terkawal adalah lelucon yang mengundang tawa orang ramai.
‘Bahkan ‘nasihat’ yang beliau berikan agar pengguna menggunakan aplikasi Price Catcher juga sebenarnya boleh dinilai semula. Misalnya kalau semakan dibuat pada aplikasi itu dan harga ikan kembung yang rendah adalah sejauh 9 kilometer daripada lokasi, adakah pengguna perlu bergerak sejauh itu untuk dapatkan sekilogram ikan dengan harga yang munasabah?” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Pemuda Amanah itu lagi, bukan harga ayam sahaja yang melambung tetapi barang-barang keperluan lain juga meningkat naik namun tidak pula disentuh oleh menteri.
“Lebih malang, langsung tak disentuh tentang minyak masak yang harganya dah berbulan melambung tak turun-turun. Bahkan sempat pula beliau titipkan pesan agar rakyat menjadi pengguna yang bijak.
“Aduhai, kalau itulah mauduk besar yang mahu disinggung, lebih baik beliau ‘hilang’ terus pun tidak mengapa. Mengapa tidak ditetapkan harga siling?
“Kita tercari-cari juga dalam kenyataan 6 muka itu kalau-kalau ada diumumkan harga siling barangan. Tiada. Kalau inilah kualiti menteri kabinet yang ada, tidak peliklah mengapa tempelan #KerajaanGagal masih terus melekat,” katanya lagi.
Oleh itu, Shazni menyarankan menteri KPDNHEP lebih kerap turun padang mencontohi menteri sama dalam kerajaan Pakatan Harapan yang berjaya mengawal harga barang pada Ramadan 2019 lalu.