Ketempangan pelaksanaan dasar kerajaan Perikatan Nasional jelas terselah dengan kegagalan mengawal harga ayam segar.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, ayam segar yang merupakan ‘barang biasa’ tidak seharusnya gagal dikawal oleh kerajaan dalam keadaan perintah darurat yang boleh dengan mudah menetapkan harga siling.
“Kenaikan harga ayam dari sekitar RM7.00 – RM8.00 tahun lalu kepada lebih RM9.00 sekilogram bukanlah sedikit.
“Berlaku kenaikan hampir 20% dalam masa setahun. Menunjukkan ayam ini barangan ‘essential’ makanan ruji. Di bulan puasa kenaikan 20% ini tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini
“Kenaikan ayam juga satu indikator. Kalau sudah 20%, barang-barang lain pula naik berapa banyak?
“Kalau harga ayam pun kerajaan PN tak boleh ‘control’ macam mana ekonomi Malaysia mahu dikendalikan?” tanyanya.
Azan berpendapat isu-isu besar yang melanda negara gagal diselesaikan dengan baik kerana kerajaan PN yang lemah tidak mahu berbincang bersama pembangkang.
Menurutnya, banyak negara yang berada dalam suasana krisis membentuk kerajaan ‘mesra pembangkang’ demi kemaslahatan rakyat.
Ataupun, katanya, sekurang-kurangnya dibuka sidang Parlimen untuk mengumpul cadangan bagi dilaksanakan secara yang lebih baik oleh pihak kerajaan.
“Masalahnya sekarang menteri berbelanja besar naik jet peribadi. Kerajaan tambah pula timbalan menteri
“Kemudian dibuat darurat dan Parlimen tidak boleh bersidang. Ini menggambarkan kerajaan yang ada memang tidak boleh diberi peluang lagi. Mereka umumkan apa sahaja sesuka hati
“Perbelanjaan bertambah berbilion ringgit dan dibuat di luar Parlimen tanpa disoal.
“Mungkin inilah inilah sebab mengapa Parlimen digantung. Sekarang sudah terbongkar bahawa mereka mahu berbelanja sesuka hati dan membiarkan negara terjerumus dengan hutang yang sangat besar,” katanya.
Justeru Azan menyeru agar sidang Parlimen dipanggil sesegera mungkin sebelum keadaan ekonomi dan pentadbiran menjadi semakin teruk dan menghilangkan kepercayaan pelabur asing