Dakwaan seorang guru lelaki mempersenda jenayah rogol sebagaimana tular dalam aplikasi ‘tik tok’ semalam sewajarnya disiasat segera oleh Kementerian Pendidikan.
Menurut Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidiq, perbuatan guru lelaki tersebut tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi ianya dilakukan oleh seseorang yang diamanahkan untuk mendidik anak murid dengan nilai-nilai murni.
“Mempersenda jenayah rogol dan maruah wanita merupakan bentuk jenayah gangguan seksual yang nyata serta melibatkan isu moral.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab warga pendidik ini adalah dakwaan yang serius dan memerlukan siasatan menyeluruh kerana dibimbangi budaya “rape culture” akan menular dan menjadi normalisasi dalam masyarakat.
“Saya merakamkan penghargaan yang tinggi kepada pelajar tersebut yang telah menampilkan keberanian dan kecerdasan yang cukup luar biasa dalam mempertahankan maruah wanita dan tegas menolak budaya “rape culture” serta lawak lucah yang berleluasa dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fadhlina lagi, guru seharusnya memberi nasihat berguna dan tegas menolak sebarang unsur jenayah dilakukan terhadap wanita.
Katanya, tidak wajar guru mempersendakan maruah wanita yang menimbulkan perasaan jengkel dalam kalangan anak-anak muridnya.
“Dakwaan pelajar tersebut sangat serius dan mesti diambil perhatian segera oleh Kementerian Pendidikan kerana ia melibatkan warga pendidik yang sepatutnya memberikan advokasi dan maklumat yang tepat tentang isu gangguan seksual.
“Menteri pendidikan, Radzi Jidin seharusnya segera memberikan respon dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dakwaan yang serius ini.
“Seruan yang sama kepada Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, dengan tahap keseriusan kes-kes gangguan seksual yang berlaku dalam masyarakat, mengapa terus berlaku kelewatan dalam pembentangan Rang Undang-undang Akta Gangguan Seksual di Parlimen? Bentang RUU Akta Gangguan Seksual di Parlimen atau undur diri dengan bermaruah,” katanya lagi.
Semalam tular seorang murid memuat naik di aplikasi tik tok bahawa guru lelaki di sekolahnya memberitahu murid bagaimana undang-undang melindungi wanita berumur 18 tahun ke bawah.
Kemudian didakwa guru itu berjenaka, ‘nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18, korang rogol yang atas 18.’