KEADILAN mempertikaikan jawapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kes guru wanita memalukan pelajar perempuan ketika pemeriksaan ‘datang bulan’ yang tular di media massa baru-baru ini
Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti KEADILAN, Fadhlina Sidiq berkata, jawapan KPM ‘tidak menerima laporan’ maka tidak boleh mengambil tindakan bukanlah jawapan standard pembuat dasar.
Katanya, menteri boleh mengarahkan siasatan biar pun tiada sesiapa yang melaporkan kejadian.
“Saya nak maklumkan, itu bukan level jawapan pembuat polisi. Pembuat polisi tidak bergantung kepada laporan semata-mata.
“Membuat dasar dan polisi adalah untuk the best interest of the people. Ia (tiada laporan) respon yang sangat lemah. Acuh tidak acuh. Antara percaya dan sangsi.
“Ini bermakna KPM tidak peka dengan polisi Perlindungan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fadhlina lagi, KPM seharusnya mempunyai kebijakan polisi yang lebih meluas dalam menangani isu hak-hak wanita dan bukan hanya terhad kepada peraturan sedia ada semata-mata.
“Ini bermakna KPM tidak kuasai sepenuhnya Comprehensive Sexual Education.
“KPM tidak kuasai hukum hakam keganasan berasaskan gender dan gender sensitivity.
“Akhir sekali, KPM sepatutnya beri bola tanggung kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga Malaysia dengan soalan, Mana Rang Undang undang Akta Gangguan Seksual?” katanya lagi.
Kelmarin, Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, laporan perlu dibuat untuk mengenal pasti sekolah yang melakukan pemeriksaan haid kepada pelajar perempuan, sebelum tindakan boleh diambil.
“Jika ia berlaku, beritahu saya di sekolah mana, supaya tindakan boleh diambil,” katanya kepada media.