Penutupan 22 bazar Ramadan di seluruh negara bagi mengelakkan jangkitan Covid 19 mulai semalam menjejaskan pendapatan para peniaga yang telah membelanjakan sejumlah modal untuk memulakan perniagaan.
Bagi Penyelaras DUN Kempas, Faezuddin Puad, kerajaan seharusnya mempertimbangkan pemberian pampasan kepada para peniaga yang terjejas.
Menurut beliau yang prihatin dengan nasib peniaga Bazar Ramadan di @mart Kempas, sedikit pampasan akan menutup kerugian, terutama kepada peniaga yang membeli peralatan berniaga tetapi belum ‘balik modal’.
“Saya berpandangan kerajaan sewajarnya mengambil kira implikasi yang bakal ditanggung para peniaga bazar sebelum mengeluarkan arahan ini. Sudah pasti para peniaga akan mengalami kerugian sekaligus tidak dapat menggajikan para pekerja sepanjang bazar ditutup.
“Justeru, saya memohon kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan yang setimpal kepada peniaga dan pekerja bazar yang terjejas dan segera menetapkan satu tarikh pembukaan semula bazar Ramadan ini bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulai itu lagi, beliau akur dengan usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid. Namun bimbang terhadap nasib peniaga kecil yang baru dua minggu menjalankan perniagaan dan belum tentu mendapat keuntungan secara keseluruhan.
Kelmarin, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan sebanyak 22 bazar Ramadan di seluruh negara perlu ditutup berkuatkuasa 1 Mei 2021
Penutupan itu dilakukan kerana HIDE (Hotspot Identification by Dynamic Engagement), Bank Negara telah mengesan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 di kawasan bazar tersebut.