Situasi pandemik Covid 19 yang memburuk dengan kes jangkitan harian di atas 4,000 orang menyebabkan rakyat tidak lagi menaruh keyakinan terhadap kemampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani wabak berkenaan.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu, rakyat masih mengharapkan yang terbaik dengan situasi total lockdown dan kes Covid jatuh mendadak.
Namun ketika ini, katanya, PKP 3.0 yang longgar kerana kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan banyak untuk ‘menutup’ ekonomi, tentu sekali akan menghasilkan keputusan yang tidak sebaik tahun lalu.
“Kerajaan PN menunjukkan kelemahan dalam mengendalikan isu Covid-19 tetapi rakyat masih memberikan kepercayaan ketika PKP 1.0
“Tetapi setelah berlaku gelombang ketiga dengan jangkitan dan keputusan yang diambil tidak menunjukkan apa-apa keberkesanan malah kehidupan rakyat jauh lebih teruk, termasuk pendapatan, kos sara hidup dan sebagainya maka rakyat mula merasakan kerajaan tidak boleh diberikan ruang lagi, rakyat memerlukan satu perubahan drastik sebelum terlambat
“Apatah lagi, banyak negara-negara jiran telah mengumpamakan Malaysia sama seperti India yang begitu teruk sekali keadaannya, jadi ungkapan-ungkapan ini menjadikan kita bertambah mundur ke belakang di mata dunia,” katanya.
Oleh itu, Azan mengharapkan satu keputusan yang lebih relevan diambil untuk menangani wabak Covid.
Katanya, sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lambat lagi maka satu bentuk pemerintahan yang lebih diyakini perlu dibentuk dengan gabungan ahli-ahli politik berwibawa.
Sekiranya, PRU 15 diadakan dalam tempoh terdekat, katanya, rakyat tidak boleh lagi memilih PN yang ternyata telah gagal menangani Covid.
“Jadi kita memerlukan satu perubahan drastik dan segera sebelum terlalu terlewat
“Perkara seperti ini (kelemahan tangani Covid) bukan sahaja nampak di mata orang ramai, malah di mata peniaga kecil, di peringkat antarabangsa dan sebagainya yang melihat kejatuhan politik, pentadbiran dan pengurusan Malaysia dalam menangani situasi Covid-19
“Maka saya rasa tamparan yang hebat akan melanda kita. Sebab itu kita memerlukan perubahan pentadbiran untuk sekurang-kurangnya mencari usaha baru serta merta, berbanding dengan Perdana Menteri sedia ada yang tidak mampu menangani atau menguruskan perkara ini,” katanya lagi.
Bagi beliau, Malaysia suatu ketika dihormati dunia sebagai antara negara paling berjaya melawan Covid pada 2020, tidak wajar diletakkan sebaris India. Hal itu, katanya pasti akan merosotkan peluang untuk manarik pelaburan asing dan memulihan ekonomi rakyat.