Dua minggu telah berlalu sejak ucapan persaraan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Hamid Bador yang menggoncangkan negara.
Namun pendedahan mengenai ‘campurtangan menteri’ dalam urusan pasukan polis itu seolah-olah tidak diambil peduli oleh pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan polis pula tidak kedengaran mengambil sebarang tindakan.
Bagi pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, pendedahan tidak harus disenyapkan dan isu campurtangan menteri tidak wajar dipertahankan oleh pemimpin kerajaan sedia ada.
Katanya, isu asas itu perlu dijawab dengan tindakan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti polis.
“Kalau lihat komen Rais Yatim (Yang DiPertua Dewan Negara) dan bekas KPN Musa Hasan kita lihat (komen mereka) ke arah untuk mempertahankan kerajaan.
“Biar pun ada beberapa perkara disebut oleh Hamid tidak tepat tetapi apa yang beliau lakukan memberikan kita satu kesempatan (menilai) apa yang berlaku. Di sini kita perlu ucapkan tahniah dan menyokong apa yang dibuat oleh Hamid kerana jika tiada pendedahan seperti itu mungkin apa yang berlaku tidak dianggap serius. Ini membezakan Hamid dengan KPN sebelum itu.
“Cuma setakat ini belum ada lagi respons atau sanggahan oleh bekas-bekas KPN kepada soalan yang ditanyakan oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang apakah berlaku campurtangan politik seperti didakwa oleh Hamid. Bagi saya ini bukan perkara baru.
“Mungkin sebelum ini perkara itu ditolak ansur oleh pasukan polis tetapi perkara ini enggan diterima oleh Hamid maka jelas apa yang disebut itu menimbulkan rasa tidak senang
“Cuma nampaknya petadbiran yang ada sekarang ini tidak peduli dan mungkin selepas ini kita akan melihat perkara sebaliknya akan berlaku,” kata Aziz dalam siaran langsung di Facebook, semalam.
Isu campurtangan dilanjurkan oleh Ketua Pembangkang DUN Perak itu dengan amalan yang sering berlaku dalam kalangan kakitangan kanan kerajaan pada era BN yang tidak mampu membezakan antara ketetapan politik dan ketetapan undang-undang yang perlu dipatuhi.
Menurut Aziz, kerap berlaku perkhidmatan awam melaksanakan hal-hal yang dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno yang bukannya urusan kerajaan.
Begitu juga layanan ke atas negeri pembangkang dan negeri kerajaan yang berbeza dan sama sekali serta tidak berlandaskan hak-hak dalam Perlembagaan.
“Saya pernah menyebut perkhidmatan awam tidak perlu setia kepada kerajaan dan hanya setia kepada negara. Mereka harus patuh kepada kerajaan kerana mempunyai mandat (semasa). Mereka dibenarkan mengundi parti yang lain selain kerajaan.
“Satu lagi soal yang saya dengar dari pegawai kanan kerajaan, mereka terpaksa mengikuti apa yang dibincang dalam Perhimpunan Agung Umno. Ini ditimbulkan dalam kalangan pegawai kerajaan tertentu. Saya pernah dengar ada pegawai kanan kerajaan perlu akur keputusan yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno.
“Apa yang saya sebutkan pada 2009, saya mengatakan itu satu prinsip (tidak setia kepada politik pemerintah) dalam perkhidmatan awam. (Bekas KPN) Musa Hassan melenting kerana katanya boleh menimbulkan rampasan kuasa. Panglima tentera darat waktu itu pun setuju.
“Mereka ini kurang faham apa yang saya katakan kerana sebelum 2018, sebelum Pakatan Harapan mengambilalih pentadbiran (Malaysia), kita lihat begitu banyak dasar perkhidmatan awam dipengaruhi oleh Umno.
“Sebab itulah kita lihat dalam Pilihan Raya Kecil pihak Angkatan Tentera Malaysia mengadakan projek khidmat bakti kepada masyarakat. Ketika itu soal hubungan perkhidmatan awam, seolah-olah menerima mereka perlu setia dengan kerajaan yang ada.
“Bila berlaku pertukaran kerajaan di Selangor, Pulau Pinang dan sebagainya maka baru mereka melihat apa sebenarnya diperuntukkan dalam Perlembagaan. Dan memang betul Umno yang memegang pentadbiran di peringkat pusat mengamalkan double standard,” katanya lagi.