Data jangkitan pandemik Covid 19 perlu disediakan secara lengkap sebelum strategi melawan virus berkenaan boleh dilaksanakan.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sistem pengumpulan dan pemprosesan data maklumat semasa jangkitan Covid 19 kebangsaan.
Katanya, tanpa data yang akurat tiada strategi tepat yang boleh dirumuskan mengekang merebaknya jangkitan Covid yang semakin berleluasa.
“PM (Muhyiddin Yassin baru-baru ini) diberikan peluang menjelaskan, tetapi dia lebih banyak berkisar masalah wang tiada, PKP 1.0 dan lain-lain.
“Yang kita mahu dengar apa yang mampu dilakukan sekarang dan bagaimana strategi masa depan. Kita akui masalah sekarang. Katil Unit Rawatan Rapi sampai ke tahap maksima, jumlah kematian meningkat. Cara peningkatan itu melonjak pantas.
“Kemudian kalau kita lihat dari segi negeri, selain Selangor (negeri lain) hanya satu kematian dalam 100 kes, sekarang ini Johor juga meningkat tinggi.
“Saya lontarkan keperluan untuk kita mempunyai data yang lengkap (dalam hal ini), jangan ada kesenjangan dan kelewatan maklumat. Inilah menyebabkan saya rasa terdesak untuk memanggil kawan-kawan yang mempunyai data sains bagi meluncurkan strategi masa hadapan menangani wabak Covid 19 (di Malaysia),” kata Anwar dalam satu siaran media.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, isu kelewatan vaksin juga menimbulkan kerunsingan dalam kalangan rakyat.
Beliau menolak mengaitkan kelembapan suntikan dengan alasan tidak ramai rakyat yang mendaftar, kerana jumlah yang menunggu sehingga kini sekitar 9 juta orang.
“Ambillah langkah apa pun, segera dapatkan vaksin dan kemudian salurkan. Jangan bagi alasan belum ada cukup pendaftaran. Sekarang ada 9 juta rakyat menunggu.
“Kedua, tentang kos pembelian. Kerana kita lihat umpamanya Vietnam dan negeri lain harganya tidak sama. Mungkin ada penjelasan tetapi rakyat harus tahu. Ini wang rakyat, bukan wang peribadi menteri.
“Namun yang lebih utama ialah bila akan sampai (vaksin). Dikatakan akhir Jun tetapi saya nak tegaskan kerana Mac dulu dijanjikan 75,000 orang tetapi yang divaksin 25,000 sahaja.
“Sekarang kita mungkin tidak dapat selesaikan (suntikan vaksin) pada akhir tahun ini. PM kata jangan bimbang kita akan selesaikan pada akhir tahun, saya tidak tahu angka mana?
“Sebab itu saya katakan data amat penting dan itu kita akan luncurkan ‘exit strategy’ hari Rabu ini,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menggesa menteri-menteri menjawab mengenai belanjawan yang diluluskan menangani Covid. Katanya, terdapat ratusan juta ringgit perbelanjaan yang tidak dijawab. Beliau minta menteri-menteri untuk menjawab dan jangan mengambil sikap ‘mendirikan mahligai di atas pusara penderitaan orang lain’.