Mampukah kerajaan PN tunai janji capai ‘imuniti kelompok’ hujung tahun 2021?
Kelembapan proses suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menimbulkan tanda tanya, adakah sasaran imuniti berkelompok (herd immunity) mampu dicapai menjelang hujung tahun ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan mempersoalkan keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunaikan janji 80% imuniti berkelompok akan tercapai dengan mengambil kira suntikan sekitar 40,000 orang sehari sebagaimana yang berlaku sekarang.
“Perdana Menteri semasa program Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 di RTM pada 23 Mei lalu telah mengumumkan 80% “herd immunity” dari vaksinasi akan tercapai menjelang penghujung tahun 2021.
“Sungguhpun kita berharap sedemikian, kenyataan ini menimbulkan pelbagai pertanyaan. Adakah ia boleh tercapai? Berlandaskan skor markah kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, saya rasa sukar untuk dicapai. Setakat ini purata hanya 30,000 ke 40,000 suntikan sehari.
“Data jumlah penduduk Malaysia sekitar 32.75 juta. 80% itu bererti 26.2 juta orang yang perlu divaksin. Jika kita congak angkanya selepas mengambil kira penduduk yang sudah divaksin berjumlah 1.66 juta (data dari laman web vaksincovid.gov.my 25 Mei 2021), terdapat 24.54 juta lagi yang perlu disuntik.
“Jika diambil dari 1 Jun 2021 ke 31 Disember 2021, kita mempunyai 214 hari sahaja lagi. Ini bermakna secara purata kerajaan perlu menaikkan jumlah suntikan dari 30,000 ke 115,000 sehari. Mampukah angka ini dicapai atau ini cuma omong kosong untuk meredakan kemarahan rakyat atas pelbagai isu yang sedang melanda negara?” tanyanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Zahir, menerusi laman web rasmi kerajaan, 10.85 juta rakyat telah mendaftar dan bersedia untuk disuntik.
Oleh itu, kerajaan perlu mempertingkatkan proses vaksinasi. Dalam masa sama, kempen kesedaran untuk mendaftar perlu terus digiatkan. Jika tidak, kata Zahir, sasaran 80% “herd immunity” 26.2 juta rakyat Malaysia itu tidak mungkin tercapai.
“Kelemahan kempen dari pihak kerajaan amat dikesali. Kita juga membaca laporan, 10,000 rakyat di Kelantan tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan untuk divaksin. Masalah sama turut dihadapi di negeri lain.
“Vaksin jenis mRNA Pfizer tidak boleh disimpan kembali setelah dicairkan, ia perlu diberi dalam tempoh 6 jam. Jika tiada penerima dalam tempoh tersebut, ia perlu dibuang.
“Kos satu suntikan Pfizer dianggar sekitar RM80-RM100. Jika kesemua 10,000 vaksin penerima di Kelantan itu terpaksa dibuang, ada potensi pembaziran mencecah sehingga 1 juta ringgit,” katanya.
Beliau turut mengesa kerajaan memperkemas serta mempertingkatkan susun atur program imunisasi dengan kadar segera.
Kerajaan juga disaran menggunakan media secara meluas bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat tentang keselamatan dan keperluan vaksin, supaya antara lainnya tiada isu pembaziran dana negara dan menafikan peluang serta hak rakyat yang bersedia untuk divaksin.
“Kelembapan dan kelemahan kerajaan amat meresahkan. Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar ada kemampuan serta iltizam untuk mengurus negara dengan baik.
“Pastinya kerajaan yang hanya meletakkan kepentingan kedudukan politik dan kuasa di atas segala-galanya perlu ditolak. Kita tidak rela rakyat terus menderita dan didera oleh kerajaan yang lemah dan cacamerba ini,” katanya lagi.