Bekalan sayur dari jelapang sayur-sayuran negara di Cameron Highlands terganggu sejak beberapa hari akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang menyebabkan harga keperluan harian itu melambung tinggi.
Bagi Jurucakap Pertanian dan Komoditi KEADILAN, Sim Tze Tzin, rantaian bekalan sayur-sayuran ini berlaku akibat pelaksanaan langkah pencegahan jangkitan Covid 19 yang caca-marba.
Katanya, kawasan Cameron dan Loging Highlands menyumbangkan lebih kurang 40% bekalan sayur-sayuran di seluruh Malaysia manakala Pasar Borong Kuala Lumpur yang merupakan pasar borong terbesar menyumbangkan 60% bekalan.
“Rantaian pasaran ini terjejas sejak awal PKP 1.0 di mana berlaku insiden pekebun terpaksa membuang hasil tanaman mereka kerana SOP yang silap.
“Keadaan menjadi lebih runcing dalam PKP 3.0. Pada permulaan PKP 3.0 pada awal Januari, MKN telah melaksanakan PKPD di Pasar Borong Kuala Lumpur. Awal minggu ini MKN melaksanakan PKPD di Cameron Highlands.
“Perlaksanaan PKPD yang carca merba di kawasan Cameron Highlands beberapa hari lepas bukan sahaja menyusahkan puluh ribu pekebun sayur dan pekerja, malah menyebabkan seluruh rakyat menjadi mangsa kenaikan harga sayuran.
“MKN menggunakan SOP PKPD yang “one size fits all” menyebabkan rantaian bekalan sayur-sayuran di seluruh negara terjejas.
“Perlaksanaan PKPD pula tidak mengambil kira masalah setempat berbeza dari kawasan bandar dengan kawasan tanaman. Keadaan turut menjadi carca merba dengan SOP yang sentiasa berubah-berubah,” kata Sim dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru itu, akibat PKPD di kawasan penanaman menyebabkan harga sayur-sayuran di luar kawalan, meningkat mencecah 100% di seluruh negara.
“Jika keadaan ini berterusan, pekebun sayur akan terpaksa membuang sayur-sayuran yang tidak dapat bertahan lama. Kekurangan bekalan sayur akan terjadi di pasaran. Dan akhirnya, harga sayur akan naik melebihi 200% pada bulan-bulan akan datang.
“Isu sekuriti makanan akan timbul selepas itu,” kata bekas Timbalan Menteri Pertanian itu.
Sehubungan itu, KEADILAN, kata Sim, mendesak agar Kementerian Pertanian memandang serius kekurangan bekalan sayur di pasaran yang berlarutan
Katanya, Menteri Pertanian dan Menteri Pertahanan seharusnya turun padang bagi menyelesaikan masalah tersebut agar keadaan tidak berlarutan
“KEADILAN menyeru Menteri Pertanian dan Menteri Pertahanan keluar dari pejabat berhawa dingin di Putrajaya dan turun ke Cameron Highlands dengan serta merta.
“Mereka harus mengadakan mesyuarat MKN sekuriti makanan khususnya masalah rantaian bekalan sayur di Cameron Highlands. Mereka harus berjumpa dengan semua persatuan dan pemegang taruh (stakeholders), memahami masalah yang dihadapi oleh pekebun dan mencari penyelesaian yang efektif.
“Duduk di command center di Putrajaya yang selesa tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat,” katanya lagi.