Bersih 3.0 telah pun bermula mengikut waktu tempatan sekurang-kurangnya di beberapa negara. Semalam Bersih telah pun mengibarkan banner di Arab Saudi.
Hari ini Bersih akan beraksi di lebih 70 lokasi seluruh dunia, termasuk bandar-bandar besar di Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan banyak lagi.
Beberapa jam sebelum Bersih 3.0 dianjurkan di Kuala Lumpur, banner Bersih telah pun berkibar di Gunung Everest. Ini pertama kali penunjuk perasaan berada di puncak gunung dan melambangkan betapa seriusnya rakyat Malaysia menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
Bagi rakyat yang akan bertumpu ke kuala Lumpur dinasihatkan agar keluar pada awal pagi dan berada di pinggir Kuala Lumpur kerana sekatan jalan akan diperketatkan menjelang tengah hari.
Berkemungkinan pengangkutan awam tidak dilumpuhkan seperti Bersih 2.0 tetapi boleh terjadi sebaliknya sekiranya polis mengesan pergerakan luar biasa rakyat.
Lokasi perhimpunan yang ditetapkan oleh Sekretariat Bersih ialah:
1. Pasar Seni: mula 1:30 petang
2. Masjid Negara : mula: 1:30 petang
3. Jalan Sultan : mula: 1:30 petang
4. Masjid India : mula: 1:30 petang
5. Brickfields, mula: 12:30 petang
6. KLCC – Himpunan Hijau, mula: 12:00 tengah hari
Panduan bagi peserta:
1. Bawa air mineral / minuman secukupnya untuk diminum. 2-3 botol air mineral / minuman 500 cc.
2. Sapu tangan bersaiz besar atau tuala kecil. Basahkan dan tutup mulut/ hidung dengannya sekiranya gas dilepaskan.
3. Makanan seperti bar coklat, energy snacks
4. Sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti masalah jantung dan paru-paru, kami menasihatkan anda untuk mengelakkan diri dari menghadiri perhimpunan ini.
Lagu Bersih 3.0 yang boleh dinyanyikan:
Inilah barisan Bersih
Yang ikhlas berhimpun
Siap sedia berjalan
Untuk ibu pertiwi
Sebelum kita berjaya
Jangan harap kami pulang
Inilah sumpah barisan Bersih
untuk pilihanraya
Andai kata DBKL tutup semua
kita duduk bantah dengan rela
Kami mohon doa
Malaysia berjaya
Semua masuk barisan
menuju ke Dataran
[Gunakan melodi lagu Medan Bakti]