Ketidakmampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyelesaikan huru hara akibat pandemik Covid 19 mewajarkan anggota biasa dan pimpinan KEADILAN menjadi agen menyedarkan rakyat mengenai kegagalan pemerintah.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke 15, 2020, hari ini.
“Parti harus menghadam dan menerangkan kepada rakyat supaya sedar (keadaan sebenar yang berlaku). Juga mengambil langkah-langkah sendiri untuk menjaga rakyat kerana hendak harapkan pemimpin, mereka telah gagal dan khianati rakyat,” katanya.
Menurut Anwar, kecamukan pemerintahan PN itu menyebabkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja terpaksa mengadakan mesyuarat khas dan mengeluarkan kenyataan menegur pemerintah, sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah Malaysia.
“Dalam politik Malaysia (teguran Raja-raja) jarang berlaku. Maknanya suara rakyat yang bangkit, yang tidak mungkin menerima keadaan yang bobrok meghimpit kehidupan mereka, dan pimpinan politik yang berkuasa gagal mengendalikannya, maka suara itu terpaksa disampaikan oleh Raja-raja Melayu.
“Jadi maknanya kita sudah sampai ke kemuncaknya. Ini antara lain terkait masalah Covid. Kita sebut dari awal masalah Covid, PKP, lockdown dan segala langkah itu ada kemunasabahannya, tetapi kita mesti bermula dengan vaksin.
“Kegagalan besar bagi kerajaan ialah menyediakan vaksin secukupnya. Mereka buat kenyataan rambang ikut selera politik untuk cuba mengelirukan rakyat. 75,000 dos sehari, 100,000 dos sehari tetapi jauh daripada unjuran. Kalau dalam keadaan sekarang ini (suntikan vaksin) tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah sehingga akhir tahun.
“Kita juga lihat suatu kecenderungan untuk mengelirukan. Ujian akan menentukan jumlah sebenar kes positif. Kita pernah lakukan ujian 100,000 sehari maka kes 9,000. Bila kita turunkan, maka kes berkurangan tetapi mengelirukan. Ini tidak membantu kerana data dan sains harus diketengahkan,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga membangkitkan situasi baharu yang agak mencemaskan mengenai Covid apabila jumlah kematian meningkat.
Lebih membimbangkan, katanya, terdapat kematian berkaitan Covid yang diklasifikasikan ‘dalam perjalanan ke hospital’ atau ‘sebaik tiba di hospital’ yang menunjukkan lemahnya ujian saringan serta kemungkinan pesakit tidak diketahui telah dijangkiti dalam tempoh sebelumnya.
“Angka terakhir pada 19 Jun, jumlah kematian 72 tetapi jumlah kematian bukan setiba di hospital itu 11. Kemudian yang dikaitkan dengan kes-kes sakit kronik, lemah jantung, barah dan lain-lain 18%.
“Kefahaman kita kematian membabitkan orang tua dan pesakit kronik tidak lagi begitu. Ada yang melibatkan golongan muda bawah 60 tahun, sebanyak 34 kes atau 47.2%.
“Hal-hal ini kita perlu terangkan untuk meyakinkan rakyat perlunya ambil vaksin dan menyerang kerajaan kerana gagal menyediakan vaksin pada kadar yang cukup.
“Kes-kes kematian sampai di hospital pula kerana ujian saringan lemah, kemudahan hospital terbatas atau ada varian Covid baharu,” katanya lagi.