Kerajaan Perikatan Nasional jelas lemah dalam strategi menangani kemuraman ekonomi negara sehingga rakyat yang putus harapan mengambil tindakan membunuh diri.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kerajaan menutup ekonomi tanpa memberi bantuan secukupnya menjadi penyebab peningkatan kes bunuh diri pada tahun ini berbanding 2020.
Sehubungan itu, Anwar menasihatkan agar setiap individu rakyat mengambil tahu kesusahan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh ahli kelaurga, saudara mara dan jiran tetangga dengan selalu menghubungi mereka.
“Bicara soal Covid sesetengah orang dah jemu dengar tetapi kita bercakap soal nyawa manusia, derita orang, nak cari nafkah hidup. Hal ini (kesengsaraan) tidak meyakinkan bagi sesetengah pihak.
“Hari ini saya paparkan jumlah kematian (kes bunuh diri) naik 20% sehingga Oktober 2021 mengikut angka dikeluarkan PDRM. Tahun lalu 188 kes, tahun ini 266.
“Kita memang perlu cari jalan, ikhtiar, hubungi mereka yang dalam keadaan sesak. Bantu dan cari jalan supaya jangan menjurus kepada kaedah ini (bunuh diri),” katanya dalam siaran di Facebook, malam tadi.
Anwar turut membidas menteri yang tidak menunjukkan sikap prihatin terhadap derita rakyat dengan beretorik kononnya keadaan terkawal, malah tanpa segan silu mengakui strategi menangani Covid berjaya, dan rakyat hidup dengan baik.
“Nak harap kerajaan, tengoklah kenyataan menteri. Keadaan baik, tak ada kebimbangan sangat kerana kejayaan yang besar.
“Saya tak mahu komen lebih, biar kita (rakyat) menilai,” katanya lagi.