Keadaan ekonomi yang meleset menyebabkan kira-kira 600,000 isi rumah M40 melengser ke kategori B40 dan kadar bunuh diri yang tinggi sepanjang pandemik Covid 19 bermula di negara ini menjadi tumpuan utama Bulanan Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP), semalam.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh, kerajaan Perikatan Nasional perlu bertindak segera bagi memperbaiki keadaan sebelum menjadi lebih buruk dan tidak dapat dikawal.
“Wanita KEADILAN mahu kerajaan meneliti 8 agenda penetapan semula ekonomi negara pasca Covid-19 yang dicadangkan oleh Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), memandangkan impak pandemik terhadap isi rumah kerana didapati lebih 600,000 isi rumah M40 telah tergelincir ke kategori B40 berdasarkan laporan EAC.
“Pada masa yang sama, Wanita KEADILAN mengecam kerajaan yang bukan sahaja tidak dapat memberi pakej bantuan kepada M40 tetapi memupuk budaya pinjaman “Ah Long Berlesen” di bawah inisiatif Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin. Tindakan ini akan memberikan impak sosial yang bertambah parah kelak dan bakal menjadi punca keluarga berpecah-belah.
“Oleh itu, Wanita KEADILAN menggesa pentadbiran Mahiaddin menyegerakan pelaksanaan moratorium dan menyampaikan bakul makanan secara telus, menyeluruh dan menepati sasaran setelah mengambil kira data terkini EAC. Jangan biar rakyat menderita lama dalam keadaan menunggu-nunggu tanpa halatuju kerana kegagalan kerajaan.
“Wanita KEADILAN juga menggesa agar kerajaan PN mengambil serius terhadap implikasi sosial daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seperti kadar membunuh diri yang meningkat mendadak, keganasan berasas gender dan Demam Kabin (Cabin Fever) di kalangan kanak-kanak dan kemurungan dihadapi oleh penghuni warga emas di pusat jagaan warga emas,” kata Fuziah dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu lagi, kerajaan juga seharusnya mengotakan janji untuk menurunkan paras jangkitan Covid 19 di bawah 4,000 kes sehari sebagaimana diumumkan sebelum pelaksanaan PKP 3.0 lalu.
“Wanita KEADILAN menzahirkan kegusaran terhadap kadar pengujian Covid-19 yang rendah dan kadar pemvaksinan yang perlahan memandangkan jumlah kes positif Covid-19 yang masih tinggi dan tidak turun ke bawah 4,000 seperti dijangkakan
“Kami sekali lagi mendesak pentadbiran Mahiaddin mengambil tindakan dengan kadar segera untuk menyiapkan program pemvaksinan di pusat jagaan warga emas yang berlesen atau tidak berlesen termasuk penjaga dan kakitangan pusat terlebih dahulu berbanding program pemvaksinan yang lain.
“Tambahan pula, laporan media mendedahkan beberapa kes jangkitan kes Covid-19 di pusat warga emas walaupun selepas suntikan vaksin dos pertama.
“Wanita KEADILAN ingin menarik perhatian kerajaan supaya turut membekalkan pakaian perlindungan peribadi (PPE) asas yang mencukupi kepada pusat jagaan warga emas bagi mengurangkan kebolehjangkitan virus dalam pusat melalui aktiviti penjagaan harian yang hampir mustahil melaksanakan penjarakkan fizikal pada setiap masa,” katanya lagi.