Biar pun beberapa NGO yang menerajui kempen menolong rakyat dihimpit kesukaran ekoran pandemik Covid 19 tidak bersetuju mempolitikkan kempen ‘Kibar Bendera Putih’ namun hakikatnya kempen itu merupakan kegagalan total kerajaan Perikatan Nasional dalam menjaga kebajikan rakyat.
Menurut Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin, kempen tersebut juga menggambarkan peranan kerajaan telah diambilalih oleh masyarakat prihatin bagi mengelakkan kesukaran hidup individu berakhir dengan tindakan membunuh diri, sebagaimana yang semakin berleluasa kebelakangan ini.
“Kempen kibarkan bendera putih yang tular sejak kelmarin membuktikan rakyat sudah tidak mampu menanggung dampak pandemik Covid-19 dengan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.
“Kempen ini bertujuan untuk memberi sokongan dan bantuan keperluan harian kepada yang terperangkap di rumah tanpa sebarang pendapatan. Kempen ini berteraskan dasar keprihatinan masyarakat setempat.
“Kelembapan edaran dan agihan bantuan daripada kerajaan menyebabkan masyarakat semakin tertekan daripada pelbagai aspek seperti ekonomi dan juga kesihatan mental.
“Kadar kematian daripada kejadian bunuh diri melonjak naik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sudah memakan masa hampir 2 tahun. Hal ini bertambah buruk apabila pelan bantuan yang diumumkan tidak menyentuh keseluruhan lapisan masyarakat,” kata Shazni dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Pemuda Amanah itu lagi, kempen yang ditularkan adalah bukti jelas bahawa kerajaan gagal memberikan tumpuan terhadap keperluan rakyat semasa pelaksanaan PKP.
Katanya, kerajaan terlalu sibuk mencari pelbagai alasan dan peluang untuk terus mengekalkan kuasa tanpa ada sekelumit perasaan simpati terhadap masyarakat yang tertakan akibat pandemik
“Kami menyokong penuh kempen “Kibarkan Bendera Putih” ini dengan harapan kita dapat membantu individu-individu ataupun keluarga yang terkesan supaya mereka dapat terus bertahan sehingga negara keluar daripada masalah Covid dan kemerosotan ekonomi,” katanya lagi.