Himpunan Bersih yang bergabung dengan ‘Stop Lynas, Save Malaysia’ berjaya mencapai tujuan. Memberi amaran keras kepada kerajaan BN, khususnya Perdana Menteri Najib Razak agar tidak melakukan penipuan dalam pilihan raya umum (PRU) ke -13 yang akan berlangsung pada bila-bila masa.
Himpunan seolah-olah akan gagal pada jam 9.00 pagi apabila pihak polis menyekat kesemua jalan masuk ke tengah Kuala Lumpur. Sama ada dari utara di Jalan Kuching, Lebuh raya Persekutuan, Jalan Parlimen dan paling banyak sekatan menghala ke Dataran Merdeka.
Pada jam 9.00 lebih kurang 500 orang majoriti berbangsa Melayu ‘Duduk Bantah’ di persimpangan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak berhadapan kawat berduri yang memagari Dataran Merdeka. Mereka dikepung polis dari semua arah.
Polis berkubu di Sogo. Menyekat lalulintas dan orang awam yang ingin ke Dataran Merdeka. Bagaimanapun, seperti Bersih 2.0 jalan belakang melalui Bukit Nenas tidak dikawal. Rakyat berjaya melalui belakang sekatan polis dan berkumpul di Stesen LRT Masjid jamek.
Pada pukul 10.30 kira-kira 10,000 demonstran telah pun berkumpul di situ. Di lokasi lain ribuan lagi berkumpul di Jalan Sultan dan Jalan Petaling. Di Brickfields demontrasi bermula pada jam 10.00 dan bergerak ke arah Dataran.
Duduk Bantah semakin meriah di Dataran pada pukul 11.00 apabila peserta berjaya memecah kepungan polis dan melalui Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR). Mahasiswa dipimpin SMM menguasai jalan TAR dan berarak ke Bangunan DBKL mencela Datuk Bandar kerana tidak membenarkan Dataran digunakan.
Jalan dikuasai Bersih
Mereka masuk ke jalan raja laut dan bergabung dengan demonstran Bersih di Dataran. Jumlah kira-kira 40,000.
Pada pukul 11.00 peserta dari Jalan Sultan memecah kepungan polis di Central Market dan berarak ke hadapan Bangunan Maybank. Kira-kira 20,000 demonstran yang terdiri dari etnik Cina meneriakkan ‘Bersih, Bersih’. ‘Henti Lynas’. ‘Undur Najib’.
Jam 11.30 peserta Stop Lynas, Save Malaysia dari KLCC bergabung dengan peserta Bersih di Jalan Tun Perak. Jumlah mencecah 40,000 peserta. Mereka membawa bendera negeri Sabah, Kelantan, Kedah. Menunjukkan solidariti seluruh negara ke atas Bersih 3.0.
Kumpulan ini menguasai Dataran Maybank, seperti mana Bersih 2.0. mereka membawa panji-panji anti-Lynas dan gambar mangsa loji radioaktif Bukit Merah.
Waktu ini kira-kira 100,000 telah memenuhi Jalan Tun Perak. Di Masjid Negara demonstrasi bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan pemimpin Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan sebagainya memberikan ucapan.
Peserta melebihi 50,000. Pada jam 12.30, demonstran yang tersekat di Sogo berjaya memasuki jalan TAR sepenuhnya. Menjadikan Kuala Lumpur dikuasai kuning dan hijau.
KL ditawan
Ketika ini sepanjang Jalan Tun Perak, dari Dataran ke Pudu Sentral dipenuhi manusia. Jalan TAR dari dataran ke Pertama Kompleks padat dan Jalan Raja Laut dari Dataran ke Sogo dipenuhi peserta kuning.
Karpal Singh diarak ke Dataran pada jam 1 tengah hari. Kedatangannya disambut laungan para demonstran. Peserta dari Central Market mara dan bergabung dengan demonstran di Jalan Tun Perak. Bagaimanapun ketika masuk waktu Zohor, azan dilaungkan di Dataran oleh seorang muazin. Semua senyap menghormati azan.
Sebelum beberapa pemimpin anak muda menyambung semula ucapan berapi-api mengecam Datuk Bandar. Mereka mahu tuntutan Bersih di tambah satu lagi dari 8 tuntutan asal. Iaitu Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletak jawatan kerana mereka ahli Umno dan akan memihak kepada BN.
Naib Presiden KEADILAN Tian Chua berucap agar pilihan raya tidak dijadikan medan penipuan dan kezaliman. Diikuti Ahli jawatankuasa Bersih Dr Wong Chin Huat berucap menyelar kerajaan yang mahu menipu dalam PRU. Wong menyeru agar rakyat merdeka dari penindasan BN.
Wakil SMM Safuan Anang berucap pada pukul 1.30.
“Tahniah kepada semua peserta Bersih yang berkumpul menunjukkan bantahan. Regim (BN) jangan sampai dihukum rakyat,” katanya.
Beliau mengumumkan 1,000 mahasiswa dari UiTM hadir dalam ‘Duduk Bantah’. Katanya, walaupun UiTM universiti Umno tetapi anak muda tidak lagi mahu diperbodohkan Umno.
Kemudian bekas pemimpin pelajar Sazni Munir mengambil tempat. Beliau mempersoalkan mengapa Dataran Merdeka tidak dibuka kepada semua rakyat.
“Datuk Bandar turun. Arahkan Dataran dibuka. Ini bukan harta persendirian. Harta persendirian pun tidak dilakukan seperti ini,” katanya.
Kemuncak ucapan apabila bekas Brig Jenderal (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab dari tentera udara (TUDM) menyeru rakyat berkorban seperti mana anggota tentera berkorban nyawa demi mempertahankan tanah air. Rakyat perlu berkorban untuk mmperbaiki negara.
“Generasi masa depan bergantung di tangan tuan-tuan. Kita akan bersihkan segala lumpur.
“Bekas tentera kini telah berani menegur kerajaan. Kita juga rasa malu dengan anak muda mahasiswa yang selama dua minggu bertapak di Dataran
“Malcom X, pejuang kulit hitam di Amerika Syarikat masuk keluar penjara memperjuangkan keadilan bagi bangsa kulit hitam. Hari ini Presiden Amerika seorang kulit hitam
“Tentera berkorban demi tanah air, kita rakyat biasa berkorban apa sahaja pertahankan bumi Malaysia (dari kezaliman),” katanya.
Ucapannya tamat dengan pemecahan benteng kawat berduri. Ratusan demonstran masuk ke Dataran. Polis berlari ke kenderaan FRU dan mengambil senapang. Meriam air bergerak ke hadapan.
Khabar duka
Anak muda berkubu dan disembur air kimia. Kemudian FRU melepaskan gas pemedih mata secara 180 darjah, bukan 45 darjah sebagaimana amalan standard.
Demonstran melarikan diri kea rah menara maybank dank e Masjid India. Berlaku cabar-mencabar antara FRU dan peserta. Sebelum polis mengejar ke Masjid India. Tahanan secara borong dibuat. Lorong sempit memberi kelebihan kepada demonstran mengejar kembali polis. Polis lari keluar.
Lebih ramai polis datang dan menghalau demonstran. Beberapa orang dibelasah. Demonstran yang berang menyerbu polis dan polis lari meninggalkan kawasan Masjid India.
Berlaku beberapa kali rundingan. Namun demonstran tidak mahu beralah. Sistem pesanan ringkas (SMS) mula memberikan mesej dua orang terbunuh dalam Bersih 3.0. Demonstran yang berang mencabar polis sehingga jam 5.00 petang di hadapan Masjid Jamek.
Situasi tidak jauh berbeza dengan Dataran Tahrir, Mesir. Cuma pujian perlu diberikan kepada rakyat Malaysia kerana mereka masih menunjukkan kasih sayang terhadap polis. Mereka tidak melakukan kekasaran.