Oleh: Mohamad Saja
Ketika ini peristiwa pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) sangat menarik minat ramai penganalisa politik.
Taliban dilihat terlalu yakin dengan kemampuan mereka untuk menakluki Kabul.
Sepertimana keyakinan yang sama ditunjukkan oleh Jeneral militia Khalifa Haftar ketika membuat kepungan ke atas Tripoli.
Tetapi sebaliknya yang berlaku adalah penggunaan dron bayraktar Turki telah menamatkan kepungan militia ke atas ibu kota Tripoli dan seterusnya menyebabkan siri perjumpaan kali kedua mesyuarat ke arah pendamaian puak bertelagah di Libya di ibu kota Jerman.
Turki kalahkan Taliban?
Terdapat keyakinan tinggi di kalangan pemerintahan tertinggi Turki bahawa Taliban boleh dikalahkan dengan strategi moden awan biru seperti apa yang berlaku di Idlib Syria, Nagorno Karabakh dan Libya.
Ingat mudah untuk Erdogan melepaskan bandaraya Kabul setelah pelaburan berbillion oleh Turki dalam usaha pembangunan semula Afghanistan dalam bidang pendidikan melalui agensi kementerian luar (TIKA) dan pengaman NATO ke atas kedudukan strategik mereka di Afghanistan.
Tanda-tanda penting Turki kekal di Kabul adalah pada pertemuan Presiden AS, Joe Biden dan Erdogan di Brussel.
Kedudukan semasa di Afghanistan sangat menarik kerana India juga dikatakan turut terlibat di dalam usaha untuk mempertahankan Kabul. Ia disebabkan beberapa maklumat perisikan telah menunjukkan tujuan mereka untuk menjaga kepentingan mereka di dalam beberapa projek mega infrastruktur janakuasa dan empangan di Afghanistan.
Pakistan main peranan
Selain itu, Pakistan dikatakan faktor utama kenapa serangan ke atas Afghanistan dilakukan. Pakistan melalui agensi perisikan mereka adalah penyumbang utama kewujudan militia Taliban melalui pembinaan kem-kem pelarian di Quetta dan sepanjang sempadan Kandahar.
Namun beberapa pendapat juga menyatakan faktor utama penglibatan India adalah untuk mengelak misi ketenteraan Taliban kekal di Afghanistan.
Terdapat maklumat yang mengatakan jika wujud persetujuan ketenteraan di antara Pakistan dan Turki kemungkinan besar limpahan militia Taliban akan beralih arah ke Jammu dan Kashmir bagi menentang penindasan tentera India ke atas wilayah Kashmir.
Pendapat lain turut mengatakan kesan dari perubahan misi Taliban di Afghanistan, maka pihak Delhi bersetuju mengadakan rundingan dengan pihak pemberontak. Minggu depan wakil Kashmir bakal bertemu dengan PM Modi di Delhi.
Antara alasan utama adalah kerana kerajaan India dikatakan cuba mengurangkan ketegangan antara India dan pemberontak Kashmir di Jammu dan Kashmir dan mengarah penglibatan tentera India di Afghanistan untuk mengalihkan Taliban dari bergerak ke utara India.
Nampaknya politik pasca Covid sangat menarik. AS pula lebih berminat mengalih tumpuan ketenteraan mereka di Laut China Selatan selepas tentera China dikatakan bergerak aktif dengan pembinaan beberapa pulau buatan di Lautan China Selatan.
Persaingan kuasa di Asia
Kerajaan Malaysia pula dikatakan telah mengarahkan pembinaan pengkalan laut di Kuantan atas alasan untuk menyediakan kawasan pembaikan kapal perang tentera laut Malaysia.
Namun maklumat terkini menunjukkan pembinaan pengkalan laut tersebut melebihi kapasiti penyeliaan aset yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Laut Malaysia.
Orang sibuk dengan jumlah vaksin yang tak cukup. Tentera asing sudah mula membuka kawasan pertahanan mereka di luar pantai Malaysia.
Manakala, pihak Filipina pula dilihat mula beralih kepada pihak barat terutama Amerika Syarikat.
Kerajaan Duterte, dikatakan mula berlembut selepas polisi rapat dengan pihak China untuk mendapatkan pelaburan AS$18 bilion untuk dana pembinaan infrastruktur negara mereka mendapat layanan dingin oleh Beijing.
Sehingga kini, baru AS$1.8 bilion dilaburkan oleh syarikat infrastruktur China dengan pelbagai alasan. Kita hanya perlu menunggu satu kemalangan di perairan Filipina untuk melihat arah politik dan diplomasi Filipina ke atas Laut China Selatan.