Pengumuman kerajaan Perikatan Nasional untuk mengadakan ‘mesyuarat khas’ Parlimen pada 26 Julai selama 5 hari mengelirukan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata dalam Perlembagaan Persekutuan atau Peraturan Mesyuarat Parlimen tidak ada istilah mesyuarat khas atau mesyuarat biasa.
Katanya, istilah seperti itu tidak harus digunakan serta mengelirukan rakyat dan anggota Parlimen.
“Seperti tiada kalimah mesyuarat khas dan mesyuarat biasa maka begitu juga tidak ada kalimah persidangan khas atau persidangan biasa,” katanya dipetik FMT.
Menurut beliau, yang tertulis dalam undang-undang adalah persidangan dan mesyuarat seperti dinyatakan di bawah Peraturan 98 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Katanya, pembukaan semula Parlimen juga perlu mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Bab 4 serta mematuhi Perkara 44 hingga 65.
“Jika kaedah baharu mengguna pakai mesyuarat khas yang bercanggah peruntukan Perlembagaan Persekutuan Bab 4 dan bercanggah juga dengan ‘Standing Order’ sedia ada, maka persidangan itu nanti cacat, tempang, tercemar dan rosak, sesuatu yang tidak diinginkan rakyat, Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja berperlembagaan,” kata Hassan.
Beliau memberi amaran jika istilah mesyuarat khas digunakan untuk mengurangkan fungsi Parlimen atau hal-hal tertentu tidak boleh dibahas maka hal itu melanggar Perlembagaan.
“Jika istilah mesyuarat khas sengaja diubah dan direka untuk mencacatkan peranan atau fungsi Parlimen, maka tindakan sedemikian adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan bertentangan konvensi institusi demokrasi berparlimen, bertentangan prinsip pengasingan kuasa dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang,” katanya lagi.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong agar mesyuarat khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, bagi Dewan Rakyat serta tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos bagi Dewan Negara.
Bagaimanapun, sidang itu dibantah majoriti Ahli Parlimen kerana terlalu singkat dan tidak banyak isu yang boleh dibahaskan.