Kesukaran rakyat marhaen menempuh kehidupan dalam suasana lockdown sehingga menaikkan bendera putih atau hitam meminta pertolongan tidak perlu dijadikan bahan perdebatan.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang mencela rakyat menaikkan bendera putih atau hitam tidak seharusnya berlaku dalam keadaan seperti sekarang.
Malah kepada pimpinan parti politik Islam, Anwar mengingatkan bendera putih dan hitam pernah digunakan Nabi Muhammad s.a.w sewaktu perang membuka kota Mekah.
“Jadi sekarang ada pula yang bangkitkan kontroversi warna (bendera). Saya dah sebut Fathu Makkah, Rasul saw dengan 10,000 anggota memasuki Mekah tanda kemenangan. Bendera Rasul itu putih, daripada kumpulan lebih besar, yang kecil satu lagi penjuru dipimpin Khalid Ibnu Walid. Benderanya hitam.
“Jadi dalam hadis saw dijelaskan kedudukan bendera besar. Bendera besar yang dibawa Rasul saw itu putih, yang hitam dibawa Khalid. Tak usah kontroversi. Konteks itu (pembukaan Mekah) konteks kemenangan.
“Dalam konvensi sekarang ada konteks menyerah diri (bendera putih). Tetapi ini (di Malaysia) orang minta pertolongan (kibar bendera) dan kebajikan,” katanya dalam satu siaran Facebook, semalam.
Justeru, Presiden KEADILAN itu menegaskan, dalam konteks rakyat tertekan, apa sahaja isyarat yang ditunjukkan tidak penting.
Katanya, perkara utama yang perlu dilakukan oleh pemerintah adalah memberikan bantuan sedaya upaya bagi meringankan beban rakyat.
“Dia nak bendera apa pun, tak ada bendera pun bantulah. Apa yang sibuk kerenah.
“Ini kadang-kadang orang meluat dengan perbicaraan dan sepak terajang politik Islam kerana masalahnya orang miskin, susah nak minta tolong. Jadi kita tolong lah kalau yang mampu.
“Saya sudah gesa Ahli Parlimen yang diberi RM300,000, kita arahkan mereka ada satu cerakinan perbelanjaan secara teliti, dan segerakan agihkan bakul makanan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya lagi.
Selain iu, Anwar juga menjelaskan pimpinan KEADILAN turut menulis surat kepada syarikat-syarikat besar agar menyumbang bantuan sama ada menggunakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka atau sumbangan peribadi individu pada ketika rakyat benar-benar memerlukan pertolongan untuk meneruskan kehidupan.