Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu terus mencari-cari dalih untuk bertahan lebih lama setelah kehilangan keabsahannya berikutan sekutu utama gabungan itu, Umno menarik kembali sokongan pada 7 Julai lalu.
Koordinator Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) Mustapha Mansor Amer Mohd Isa berkata, oleh kerana Umno asalnya menyokong PN secara en blok maka dengan perisytiharan tersebut PN telah pun tumbang dan tidak lagi boleh dianggap kerajaan yang sah menurut Perlembagaan
“Walaupun cuba disukarkan pemahamannya (kerajaan belum tumbang) oleh Peguam Negara tetapi banyak pakar-pakar Perlembagaan termasuk Prof Dr Aziz Bari mengatakan setelah ditarik sokongan oleh Umno maka (jelas) PN bukan lagi kerajaan yang sah,” katanya di luar kawasan Istana Negara setelah menyerahkan memorandum daripada kira-kira 40 NGO mendesak PM Mahiaddin Yassin meletak jawatan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong, tengah hari tadi.
Menurut Mustapha, kesan kerajaan yang tidak absah itu adalah longgarnya strategi memerangi Covid 19 yang kelihatan semakin bercelaru akibat ahli-ahli politik sibuk mempertahankan jawatan, berbanding fokus menyelesaikan masalah pandemik.
“Siapakah yang perlu bertanggungjawab sekarang dengan keadaan kes Covid yang meningkat? Dengan bunuh diri yang meningkat? Tak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia sejak merdeka negara kita dilanda masalah seperti ini
“Kalau Covid kita faham seluruh dunia menghadapi masalah tersebut. Tetapi bunuh diri sangat membimbangkan. Kita sebagai rakyat Malaysia patut rasa prihatin dengan keadaan ini,” ujarnya.
Tambah Mustapha, bukan sahaja Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menuntut kerajaan PN berundur segera malah dalam seminggu kebelakangan ini pelbagai NGO dan rakyat biasa yang telah muak dengan politik melampau menyuarakan tuntutan agar Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin segera meletak jawatan.
“Sudah sampai masanya kerajaan yang tidak ada keabsahan berundur secara kehormat. Bukan lagi diminta oleh parti-parti politik, tetapi diminta juga oleh NGO dan rakyat Malaysia
“Peluang yang diberikan oleh rakyat kepada PN lebih dari setahun. Rasanya sudah sampai ke tahap di mana kalau diteruskan (pentadbiran Mahiaddin), mudaratnya akan lebih besar.
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat sekiranya tiada perubahan sehingga hari Jumaat ini, PM tidak juga mahu undur secara terhormat maka kita seru rakyat seluruh negara angkat bendera putih, pakai baju putih, pakai kain putih, menandakan kita mahukan solidariti seluruh rakyat,” katanya.
Beliau menambah, solidariti tersebut juga ditujukan kepada rakyat Malaysia yang telah meninggal dunia berikutan pandemik Covid 19 dan keluarga individu yang membunuh diri akibat tekanan perasaan melampau sepanjang pandemik.
Mustapha turut berharap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu memberi pertimbangan serius terhadap memorandum rakyat dihatar dan bertindak mengikut kebijhaksanaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu.